Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Seramai 1.4 juta penjawat awam dijangka akan menandatangani opsyen baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 21 Oktober hingga 30 November ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz berkata, pelarasan gaji baharu bakal diterima penjawat awam bertaraf tetap dan lantikan kontrak (COS) seawal bulan Disember ini, dengan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam ditingkatkan kepada RM1,500 sebulan.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani opsyen sistem SSPA oleh warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim.
Turut serta, 75 orang warga JPA yang terdiri daripada ahli-ahli mesyuarat pengurusan tertinggi dan para pegawai pelbagai kumpulan perkhidmatan.
Wan Ahmad Dahlan berkata, aspek peningkatan kualiti dalam pengurusan dan pembangunan modal insan merupakan elemen penting yang diberi keutamaan.
“Ini memperlihatkan usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Seterusnya, penjawat awam yang berprestasi tinggi akan dapat menterjemahkan agenda reformasi perkhidmatan awam bagi menjayakan Malaysia Madani dan menyejahterakan
rakyat.
“Sebagai tambahan, SSPA juga berupaya untuk menangani isu pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup, serta memperkukuh kemampanan fiskal negara,”katanya.
“Semua penjawat awam disarankan untuk memilih opsyen SSPA bagi menikmati pelarasan gaji baharu, pemantapan saraan dan penambahbaikan laluan kerjaya.
“Selaras dengan itu, JPA akan meneruskan Sesi Libat Urus dengan semua pegawai awam mengikut negeri dan zon, ”ujarnya.
“Dengan terlaksananya SSPA ini, diharap agar aspirasi reformasi perkhidmatan awam akan terus diperkasakan dengan menyemai sikap taat setia dalam kalangan pegawai awam serta mampu memberikan khidmat yang terbaik dalam memacu kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya, ”ujarnya lagi.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JPA memaklumkan, tawaran pemilihan opsyen SSPA terbuka kepada semua pegawai awam bertaraf tetap bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan berkuatkuasa mulai 1 Disember ini.
“Selama tempoh 40 hari, kementerian dan jabatan mesti melaksanakan urusan menandatangani opsyen SSPA selewat-lewatnya 30 November ini, ”tambahnya.
“Gaji pegawai awam yang sedang berkhidmat akan diselaraskan pada 1 Disember ini, manakala penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara,”tambah kenyataan itu lagi.-SUARA.TV