Selepas Amanah & DAP Dikritik, Khalid Samad Saran Dr Asri Berhenti Jadi Mufti

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad menyarankan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berhenti menjadi Mufti Perlis kalau nak berpolitik susulan kenyataan Dr Asri yang mengkritik keakraban hubungan Amanah dengan DAP.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut memuat naik petikan berita yang memaparkan kenyataan Mufti Perlis itu yang mengkritik pemimpin Amanah yang dikatakan setia mengikut pendirian DAP dalam pelbagai isu.

“Seharusnya berhenti dari menjadi mufti kalau nak berpolitik. Dahlah tu, analisis politiknya agak lemah,” kata Khalid, dalam kenyataan menerusi akaun Twitternya hari ini.

Dalam laporan media semalam, Dr Asri mendakwa pemimpin Amanah kerap dilihat membela DAP dan berdiam diri dalam isu yang meresahkan umat Islam.

“Kelihatannya Amanah akan senyap atau mencari alasan untuk membelanya (DAP) secara langsung atau tidak langsung.

“Saya juga kagum kerana saya tidak melihat isu-isu yang merunsingkan umat Islam mereka keluarkan pandangan walaupun kadang-kadang isu itu ada kepentingan untuk PH,” kata Dr Asri, dipetik dari laporan portal FMT.

Dalam laporan yang sama, Dr Asri juga mendakwa tidak mendengar apa-apa kenyataan pemimpin Amanah berhubung isu komik propaganda politik yang diedarkan di sekolah serta penangkapan beberapa individu yang ada kaitan dengan DAP dalam isu LTTE.

“Tetapi (dalam isu) Zakir Naik, kita (dengar). Mereka serius hampir sama dengan kenyataan DAP,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Asri berkata beberapa pemimpin bukan Islam PH, terutamanya DAP, mengubah sikap mereka selepas berkuasa yang beliau gambarkan mereka sekarang sebagai “tergopoh-gopoh” dengan bersikap tegang terhadap umat Islam.

“Apabila mereka memperoleh kuasa, sikap mereka menjadi sangat berbeza. Kenyataan yang dikeluarkan setiap hari semuanya seolah-olah dalam permusuhan dengan masyarakat Islam, yang tidak berniat menjadi musuh pada awalnya,” ujarnya, seperti dilaporkan portal itu semalam.

Dalam pada itu, Khalid turut membuat spekulasi mendakwa Mufti Perlis itu bakal menjadi calon ‘geng Melayu’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Jangan terkejut, bakal calon ‘geng Melayu’ pada PRU 15. Hairan dengan kesanggupannya bersama dalam Kongres ‘Maruah Melayu’ dengan mesej perkaumannya tapi faham apa tujuannya,” katanya. – SuaraTV

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.