Kenyataan Pemimpin DAP Umpama Isytihar Perang, Kata Pemuda PPBM

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ronnie Liu yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan lebih kuat walaupun tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) dan mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad mengejar model parti dominan Melayu ala Barisan Nasional seolah-olah memprovokasi dan mengisytiharkan perang kepada parti itu.

Armada (Pemuda) Bersatu Selangor berkata, kenyataan Ronnie itu juga mahu memperlekeh-lekehkan peranan Bersatu sebagai parti komponen PH yang penting.

Ketuanya, Adhif Syan Abdullah mengingatkan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP itu jangan memperlekehkan Mahathir dan Bersatu untuk berhujah parti mana lebih hebat atau siapa lebih banyak kerusi.

Ini kerana, pada pilihan raya umum pertama pada tahun 1969, DAP juga hanya memenangi 13 kerusi sahaja, sama seperti Bersatu sekarang.

Tetapi DAP tidak berjaya membentuk kerajaan dengan jumlah tersebut jauh sekali mengangkat pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.

Tegasnya, Bersatu merupakan parti orang Melayu, ditubuhkan sebagai platform baharu politik orang Melayu progresif namun kekal dengan nilai-nilai warisan dan adat orang Melayu.

Berita berkaitan;

“Tun merupakan Pengerusinya. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami bagi mengangkat suara dan kehendak orang Melayu sebagaimana Ronnie dan DAP mengangkat suara orang Cina dan India.

“Adakah apabila Cina dan India meminta haknya dan menyuarakan ketidakpuashati baru dianggap “kebebasan bersuara” tapi apabila orang Melayu meminta perkara sama ia dikira ‘rasis’?.

“Adakah Bersatu tidak boleh suarakan hasrat orang Melayu, jika itu kehendak mereka, tanpa dituduh berperangai sama seperti UMNO?,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Adhif, Ronnie harus sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh PH adalah hasil daripada konsensus bersama empat parti gabungan di bawah Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Malah, kesemua pemimpin parti komponen dalam Majlis Presiden dan juga Kabinet mengakui bahawa Mahathir sentiasa mendengar pandangan semua pihak dan melaksanakan keputusan berdasarkan suara majoriti.

Katanya, jika benar kritikan Ronnie berkenaan isu-isu yang dibangkitkan, maka ia hendaklah turut dianggap kritikan atau kegagalan kepimpinan DAP.

Menurut beliau lagi, Armada Selangor mendapati pendapat Ronnie dan lain-lain sealiran dengannya seperti yang dikeluarkan oleh Syed Hussin dan Otai Reformis sebelum ini (yang mendesak Dr Mahathir meletakan jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah cubaan menimbulkan kekacauan.

Tindakan ini dilakukan walaupun Anwar dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meminta desakan dihentikan segera dan Perdana Menteri diberi ruang secukupnya untuk mentadbir.

“Jika selepas kenyataan Anwar dan Wan Azizah pun Ronnie dan rakan-rakannya masih ingkar, maka beliau hendaklah diberi kata dua oleh kepimpinan tertinggi PH kerana cuba memecahbelahkan antara parti-parti komponen, menimbulkan persengketaan dalam kalangan ahli-ahli, serta menghasut menukar pentadbiran yang diwujudkan secara sah. – MalaysiaGazette

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.