Zaid Ibrahim Saran Kerajaan Beri Lesen Kasino dan Jual Arak Kepada Bumiputera

KUALA LUMPUR – Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan agar Bumiputera diberikan lesen pusat judi dan penjualan alkohol dalam usaha mewujudkan saingan dengan kaum lain.

Bekas Menteri di Jabatan Menteri itu menerusi blognya berkata salah satu faktor utama orang Melayu ketinggalan berbanding kaum lain dalam pelbagai bidang adalah disebabkan dasar bersifat diskriminasi yang dimulakan oleh kerajaan.

“Saya menyokong dasar yang tidak bersifat diskriminasi yang membolehkan bumiputera turut serta dalam perniagaan menjual produk tidak halal yang memberi pulangan lumayan dan banyak di negara ini.

“Kenapa tidak beri lesen kepada bumiputera untuk buka kasino, pusat hiburan, aktiviti judi dan penjualan alkohol?

“Sektor itu merupakan sumber ekonomi yang besar yang melibatkan berbilion ringgit namun orang Melayu dihalang turut serta. Bagaimana orang Melayu muslim akan mampu menyaingi kaum lain dari segi ekonomi?” katanya.

Tambah Zaid, perniagaan kasino dan seumpama pusat hiburan akan dapat membuka peluang kepada mereka melabur dalam hartanah.

“Orang Melayu mengeluh bahawa mereka telah hilang tanah mereka dan tak mampu beli rumah kos rendah. Kenapa orang Melayu tidak diberi peluang sama seperti Cina agar mereka boleh buat duit dan lindungi tanah mereka?

“Perniagaan ini adalah berdosa, sudah tentu, tapi sejak bila kerajaan diberikan mandat di bawah perlembagaan untuk melindungi orang Melayu daripada dosa?” katanya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.