VIDEO: “Buat Manifesto Dalam Jangkaan Akan Kalah, Akhirnya Tak Tahu Buat Kerja”, Amran Kesal Promosikan Manifesto PH

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Pelbagai ‘kerosakan’ berlaku pada hari ini sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pentadbiran negara lima bulan lalu, gara-gara sikap ghairah pakatan itu menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, demikian kata bekas ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad Nor.

Beliau yang pernah terlibat dalam proses merangka dan mempromosikan manifesto PH berkata, janji yang ditabur bertujuan memperdaya rakyat akhirnya ‘memakan diri’ apabila pakatan itu gagal untuk melaksanakannya selepas bergelar kerajaan.

“Saya rasa bersalah kerana saya mempromosikan manifesto itu, meyakinkan rakyat seolah-olah Pakatan Harapan mampu buat kerja tapi sebenarnya tidak…kerana mereka lahir atas aktiviti fitnah dan propaganda jahat sehingga lawan mereka kalah dan mereka menang. Menang dengan jangkaan tak menang, akhirnya tak tahu buat kerja,” katanya dalam satu program anjuran Nothing To Hide Media bertajuk DAP Pecat Saya Sebab Saya Melayu, malam tadi.

Amran berkata, manifesto berkenaan dibuat oleh bekas partinya, DAP, dengan jangkaan PH akan kalah.

Tambah Amran, beliau tidak menyangka bahawa apa yang berlaku pada hari ini begitu teruk sehingga menyaksikan rakyat makin tertekan gara-gara kerajaan baru ‘tidak pandai buat kerja’.

“Saya terlibat secara langsung dalam mempromosi manifesto, dan saya tahu manifesto itu dibuat oleh DAP dengan jangkaan (PH) kalah. Jadi saya terlibat buat manifesto tersebut, mempromosi manifesto tersebut sehingga ramai yang terpedaya.

“Apa yg berlaku hari ini lebih teruk dari jangkaan saya. Bukan saja janji tak ditunaikan, malah harga sawit turun, bantuan BR1M dihentikan, bursa jatuh teruk sehingga EPF dan KWSP kerugian RM6 billion, ringgit menyusut teruk, ekonomi tak ada hala tuju jelas untuk Malaysia bergerak ssebagai negara maju. Gaji minimunm pun tak dinaikkan. Rakyat makin tak senang… tiada GST tapi harga barang tetap naik,” katanya.

Amran pada Ogos lalu pernah membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia menerusi satu klip video kerana ‘rasa bersalah’ mempromosikan manifesto PH.

Sebelum ini, beliau pernah membuat kejutan apabila tampil membuat pendedahan mengenai taktik kotor parti itu yang menjalankan propaganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang menyasarkan pemimpin-pemimpin dari parti lawan termasuklah Datuk Seri Najib dan keluarganya, serta pemimpin kerajaan.

Amran dipecat daripada DAP pada 18 Oktober lalu dan beliau berpendirian untuk tidak membuat rayuan kepada parti itu. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.