Tok Pa Tak Akan Lepaskan Jawatan MP Jeli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan wakil rakyat kawasannya walaupun ada desakan berbuat demikian.

Katanya, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Jeli dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu dan rakyat seluruhnya.

“Terima kasih kepada rakyat Jeli kerana menyokong penghijrahan saya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Saya akan terus berjuang demi mereka dan meneruskan perjuangan di dalam dan luar dewan (Dewan Rakyat) ini,” katanya ketika memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan itu adalah yang pertama selepas beliau mengumumkan keluar UMNO pada 18 September lalu.

Mustapa, ketika itu berkata, keputusan keluar UMNO kerana hala tuju parti yang beliau berkhidmat selama 40 tahun itu pada masa sekarang tidak selari dengan perjuangannya.

Berikutan tindakannya itu, beberapa pemimpin parti itu mendesak beliau melepaskan jawatan Ahli Parlimen termasuk oleh Ketua Pemuda Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor dan bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Kenyataan Mustapa itu kemudian disambut oleh RSN Rayer (PH-DAP-Jelutong) yang mencelah dengan mengucapkan tahniah kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Rayer juga mengambil kesempatan mempelawa Mustapa menyertai Pakatan Harapan (PH) yang mana Ahli Parlimen Jeli itu mengucapkan terima kasih tetapi belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Insya-Allah jika saya sudah buat keputusan, saya akan umumkan kepada dunia,” katanya disambut tepukan meja penyokong kerajaan sebagai sokongan.

Menjawab celahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO-Pasir Salak) mengenai apa yang diharapkan daripada kerajaan PH dan pencapaian ekonomi negara kini adalah hasil diwarisi kerajaan Barisan Nasional (BN), Mustapa berkata seperti disebut dalam kajian RMK-11, statistik itu benar.

“Angka tidak akan menipu, kajian separuh penggal RMK-11 ini jelas menunjukkan kedudukan semasa yang menyebabkan kerajaan membuat beberapa penyesuaian.

“Berhubung penghijrahan ini, saya merasakan lebih baik saya membantu dan membela rakyat kawasan saya melalui kapasiti Ahli Parlimen bebas,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.