VIDEO: “Sedih Kenangkan Betapa Panjangnya Perjalanan Arwah Bapa Langsung Tak Dihargai DAP”

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Bekas ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad Nor tidak terkejut dengan tindakan parti pimpinan Lim Guan Eng itu yang mengambil keputusan untuk ‘membuangnya’ sungguhpun pernah menjadi individu penting dalam parti.

Anak kepada bekas Naib Presiden DAP Allahyarham Ahmad Nor itu berkata, satu perkara hakikat yang perlu disedari adalah kaum Melayu sememangnya tiada tempat dalam parti berkenaan.

“Saya tak berapa terkejut sebenarnya bila saya fikirkan balik betapa penghargaan atau nilai saya di mata DAP itu tak ada.

“Kalau kita lihat, anak Lim Kit Siang, seorang jadi menteri kewangan, seorang lagi senator dewan negara…anak mendiang Kerk Kim Hock pula ADUN di Melaka, jadi exco dah pun. Anak mendiang Karpal Singh pula berapa orang jadi ADUN dan MP.. anak mendiang P Patto, diangkat jadi MP Batu Kawan.

“Tapi anak pemimpin Melayu tak ada dalam senarai DAP untuk meneruskan perjuangan bapanya,” kata Amran dalam satu program anjuran Nothing To Hide Media bertajuk DAP Pecat Saya Sebab Saya Melayu, malam tadi.

Bapa Amran, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP.

Amran mengikut jejak langkah bapanya dengan menyertai DAP pada 2009. Beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, selain turut menjadi sebahagian daripada pasukan publisiti DAP yang menjalankan gerak kerja berkenaan untuk PRU14.

Menjelang beberapa hari sebelum PRU14, Amran membuat kejutan apabila tampil membuat pendedahan mengenai taktik kotor parti itu yang menjalankan propaganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang menyasarkan pemimpin-pemimpin dari parti lawan termasuklah Datuk Seri Najib dan keluarganya, serta pemimpin kerajaan.

Amran dipecat daripada DAP pada 18 Oktober lalu dan beliau berpendirian untuk tidak membuat rayuan kepada parti itu.

Menyentuh lebih lanjut, Amran berkata perasaannya bercampur baur apabila menerima surat pemecatan tersebut, namun mengakui sangat sedih apabila mengenangkan jasa dan pengorbanan dua generasi Melayu – daripada zaman bapanya sehingga dirinya – langsung tidak dihargai oleh DAP.

“Ia satu perasaan yang saya boleh katakan bercampur-campur…gembira pun ada. Sedih, sebab kenangkan betapa panjangnya perjalanan dari arwah bapa sehingga saya tak dihargai…dipecat begitu saja. Mereka minta surat tunjuk sebab tapi saya tak balas, dipecat.

“Itu satu tindakan yang zalim, sombong, angkuh daripada sebuah parti yang dulunya cap ayam saja pun. Sekarang bila jadi kerajaan, dia punya angkuh lain macam. Pecat saya macam tu je sedangkan saya berani katakan saya adalah antara penyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan terutama DAP pada hari ini,” katanya.

Justeru kata Amran, orang Melayu khususnya anak-anak muda perlu membuka mata dan menyedari betapa rasisnya parti yang kononnya melaungkan demokrasi dan hak sama rata untuk semua kaum.

“Saya nak pesan kepada anak Melayu yang terkinja-kinja nak masuk DAP. Ingatlah dua ayat saya ni. Pertama, biar mati berdiri dari hidup melutut kepada DAP. Kedua, habis madu sepah dibuang. Itulah pesanan saya kalau ada yang datang jumpa dan berkata saya nak masuk DAP. Ini adalah pengalaman yang berlaku kepada saya dan yang sedang berlaku kepada kawan-kawan saya yang berada dalam DAP sekarang,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.