Polis Melaka serah 10 laporan pemilihan kepada PKR

KUALA LUMPUR -Polis Melaka menerima 10 laporan berkaitan pemilihan PKR yang diadakan Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, 4 laporan polis diterima sekitar daerah Melaka Tengah, manakala 6 lagi di daerah Alor Gajah sejak Sabtu lalu hingga semalam.

Laporan itu dibuat kerana tidak puas hati terhadap sistem e-undi yang digunakan dalam pemilihan, selain kelewatan keputusan pemilihan bagi negeri itu.

“Ada juga antara laporan yang dibuat kerana mendakwa mereka ahli parti, tetapi nama mereka tiada dalam senarai mengundi.

“Berdasarkan laporan yang diterima, tiada unsur jenayah dikenal pasti dan kita telah menyerahkan laporan berkenaan kepada ibu pejabat PKR untuk tindakan lanjut,” katanya selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR untuk menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil.

Ahad lalu, 2 calon Ketua Cawangan Tangga Batu, Alias Abd Wahab, 59, dan Abdullah Ali, 48, membuat laporan polis mendakwa sistem e-undi pemilihan PKR tidak telus dan wujud unsur sabotaj.

Laporan itu turut menggesa JPP PKR menyelesaikan segera masalah itu dan menentukan kedudukan cawangan terbabit.-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.