Polis Ingatkan Penyokong Tidak Timbulkan Kekecohan Isu Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU – Polis Sabah mengingatkan penyokong kerajaan dan pembangkang tidak menimbulkan kekecohan sepanjang prosiding mendengar keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu pelantikan ketua menteri Sabah yang sah, Khamis ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata kawasan luar serta dalam Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu akan dikawal sepenuhnya oleh polis bagi mengelak sebarang gangguan.

“Daripada maklumat yang diterima, ramai penyokong daripada kedua-dua parti (pemerintah dan pembangkang) hadir dan kita minta mereka menghormati undang-undang.

“Disebabkan kawasan mahkamah terhad, kita tidak akan benarkan semua pengunjung masuk ke kawasan mahkamah bagi mengelak kesesakan atau gangguan,” katanya kepada media sempena lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, kawalan turut dilakukan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) selepas menerima maklumat bahawa ada kumpulan mahu berarak di kawasan itu pada hari sama.

“Saya nasihatkan mereka jangan menunjukkan perasaan sama ada suka atau tidak dengan keputusan mahkamah. Jadi saya nasihatkan jangan sesekali berarak.

“Selain itu, jangan lakukan perbuatan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman mahkamah seperti membaling (objek), mengeluarkan perkataan provokasi atau insiden tidak diingini atau membawa senjata sehingga polis terpaksa menguatkuasa undang-undang dengan melaksanakan tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada permohonan permit daripada mana-mana pihak untuk berhimpun, namun pihaknya sedia menambah pasukan keselamatan bagi mengawal keadaan.

Jun lalu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan ketua menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau kekal ketua menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai ketua menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu tidak berperlembagaan dan tidak sah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.