Pemimpin PKR Serah Bukti Anggota Tentera Jadi Pengundi Dalam Pemilihan Parti

KUALA LUMPUR – Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menyerahkan 2 set dokumen bagi membantu siasatan Kementerian Pertahanan berhubung dakwaan penglibatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pemilihan PKR Cawangan Petaling Jaya Utara (PJU), Ahad lalu.

Wong yang diumumkan menang tanpa bertanding jawatan ketua cawangan itu berkata, dokumen itu diserahkan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Set pertama mengandungi nama dan butiran 3 orang yang disyaki anggota ATM yang telah mengundi di sebelah pagi pada hari mengundi pemilihan cawangan PJU.

“Set ke-2 pula berkenaan penemuan 32 ahli parti cawangan PJU yang didaftar atas beberapa alamat di kem ATM, antaranya Kem Batu Kentomen, Kem Paya Jaras, Kem Sungai Buloh, Kem Wardieburn dan Kem Perdana Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wong berkata, tindakan itu bertujuan membolehkan Kementerian Pertahanan memulakan semakan, sekiranya anggota ATM terbabit dalam aktiviti politik, selain membantu cawangan PJU mengemas kini senarai ahlinya.

Beliau turut menjelaskan aduan anggota ATM mengundi pada sebelah pagi berbeza dengan penahanan 7 orang oleh polis pada sebelah petang Ahad lalu.

“Tujuh orang yang ditangkap pada sebelah petang adalah mereka yang disyaki pengundi hantu dan bukan yang disyaki sebagai anggota ATM,” katanya. – BERNAMA

One thought on “Pemimpin PKR Serah Bukti Anggota Tentera Jadi Pengundi Dalam Pemilihan Parti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.