Pemilihan PKR Kekal Guna Sistem E-Undi Walaupun Ada Masalah Teknikal – Saifuddin

PUTRAJAYA — PKR akan kekal dengan sistem undian dalam talian (e-undi) walaupun terdapat beberapa masalah teknikal timbul ketika pemilihan jawatankuasa parti yang sedang diadakan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Beliau berkata penggunaan sistem e-undi bagi pemilihan parti yang bermula September lalu telah berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa masalah teknikal berlaku ketika hari pertama pelaksanaan di Pulau Pinang dan Kedah namun ia telah diperkemas dan diatasi.

“Pemilihan di Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perlis telah berjalan dengan lancar seperti apa yang kita rancang. Cuma ada masalah berlaku di Melaka.

“Maka, tidak sama sekali untuk kembali menggunakan sistem manual. Keutamaan sekarang adalah memperkemas keutuhan sistem dan kalau adalah masalah teknikal, bahagian IT dan programmer akan bantu JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) untuk mengatasinya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kemungkinan PKR kembali mengunakan sistem manual bagi pemilihan jawatankuasa parti itu berikutan masalah undi ‘hilang’ pada pemilihan parti di lima cabang di Melaka dan satu di Negeri Sembilan Ahad lalu.

Sebelum itu, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

Saifuddin menjelaskan bahawa parti itu telah mengambil kira semua faktor ketika membuat keputusan melaksanakan e-undi bagi menggantikan kaedah pengundian secara manual.

“Kalau menggunakan sistem manual, ada anggota (PKR) buta huruf, kalau guna sistem e-undi ada (golongan) tidak biasa dengan penggunaan tab. Kita adalah masalah yang sama.

“Sehubungan itu, JPP telah bersiap sedia petugas bagi membantu anggota yang tidak biasa penggunaan tab (ketika e-undi). Sistem ini terbukti berjalan baik dan lancar di beberapa negeri,” katanya.

Berhubung dakwaan jumlah pengundi parti bertambah secara mendadak di cabang Julau, Sarawak, Saifuddin menjelaskan bahawa bukan cabang itu sahaja malah jumlah anggota PKR telah meningkat secara mendadak di seluruh negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Dari April 1999 hingga 9 Mei tahun ini, jumlah keanggotaan PKR adalah 550,000 namun ia telah bertambah kepada 842,271 sehingga 26 Jun lalu, iaitu peningkatan kira-kira 300,000 dalam tempoh sebulan setengah, katanya.

Ditanya sama adalah keputusan Melaka dan Negeri Sembilan akan dibatalkan, Saifuddin berkata JPP akan mengadakan mesyuarat dan membincangkan perkara itu.

Beliau bekata Pengerusi JPP Datuk Rashid Din telah memaklumkan kepada beliau berhubung punca teknikal yang timbul ketika pemilihan parti di lima cabang di Melaka dan satu di Negeri Sembilan.

“Ketika anggota parti mengundi, kiraan tidak berlaku pada sesetengah undi ada undi yang dihitung ada pula tidak dihitung.

“Mereka akan membuat bincang dan membuat keputusan. Namun ia tidak sampai tahap untuk membatalkan (pemilihan). Mereka masih berusaha mengenal pasti masalah teknikal itu. Namun, tiada time frame ditetapkan,” katanya. — Bernama

One thought on “Pemilihan PKR Kekal Guna Sistem E-Undi Walaupun Ada Masalah Teknikal – Saifuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.