Jualan Berterusan, Bursa Saham Jatuh 24.87 Mata

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan jualan berterusan dalam saham berwajaran tinggi terpilih.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 24.87 mata untuk ditutup pada paras terendahnya sepanjang hari, 1,697.6 daripada 1,722.47 pada penutup semalam.

Ia dibuka 0.97 mata lebih rendah pada 1,721.5 dan mencapai paras tertingginya sepanjang hari pada 1,721.91.

Peniaga berkata, sentimen pasaran serantau yang lemah disebabkan oleh kebimbangan konflik perdagangan AS-China, bagaimana ia boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi China, serta kebimbangan sama ada Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedahnya lebih tinggi daripada dijangka.

“Ketegangan di pasaran luar mengganggu pasaran tempatan,” katanya.

Kenanga Research pula berkata prospek bagi FBM KLCI kekal lemah dan indikator momentum belum menunjukkan sebarang kemungkinan kenaikan harga.

Dalam satu nota, firma penyelidikan itu berkata sokongan boleh dilihat pada 1,700 dan 1,660, dengan tahap rintangan utama pada 1,790 dan 1,760 jika sentimen pasaran bertambah baik.

Di kalangan saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun 20 sen kepada RM9.40, Public Bank turun lapan sen kepada RM24.90, Tenaga turun 42 sen kepada RM14.08 dan Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM9.34.

Bagi saham aktif, Prestariang menokok 1.5 sen kepada 45.5 sen, Sapura Energy turun setengah sen kepada 34 sen dan MYEG turun 10 sen pada RM1.28.

Kaunter rugi mengatasi untung seabanyak 727 berbanding 170, dengan 330 kaunter tidak berubah, 677 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan lebih tinggi pada 2.01 bilion unit bernilai RM2 bilion daripada 1.95 bilion unit bernilai RM1.67 bilion yang dicatatkan semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.