E-buku Panduan Hijrah Diri Untuk Golongan LGBT Diterbitkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerbitkan e-buku (e-book) bertajuk ‘Panduan Hijrah Diri’ bagi mereka yang mengalami konflik LGBT untuk kembali ke pangkal jalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata e-buku itu boleh dimuat turun di Aplikasi Google Store.

“Buku Hadith Sahih Mengenai Perlakuan LGBT serta risalah Memahami LGBT Daripada Perspektif  Seorang Muslim mengenai gejala itu turut dimuatkan,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ingin tahu usaha kerajaan untuk membendung gejala songsang ini di Dewan Rakyat, hari ini.

Mujahid dalam masa yang sama turut mengulangi pendirian bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi agama Islam peringkat Persekutuan telah mengambil inisiatif menyantuni golongan ini dengan melaksanakan aktiviti temu seru (outreach) ke kawasan yang dikenal pasti dan mengajak mereka yang beragama Islam menyertai program rawatan dan pemulihan secara sukarela melalui Program Mukhayyam sejak 2011,” katanya.

Tanbah beliau, kerajaan sedang berbincang dengan beberapa agensi pekerjaan yang mahu memberi peluang pekerjaan yang bersesuaian kepada golongan transgender.

“Seterusnya program pendidikan dan advokasi berkaitan isu LGBT berbentuk seminar telah menyasarkan masyarakat awam termasuk pelajar sekolah, universiti, kaunselor sekolah, ibu bapa, staf kesihatan dan sukarelawan sosial Islam yang membincangkan aspek kesihatan dan psikologi agar peserta mendapat maklumat tepat mengenai perlakuan LGBT,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.