Saya Juga Jadi Mangsa Berita Palsu – Rosmah

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau secara peribadi tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan meminta orang ramai tidak percaya atau menyebarkan maklumat yang dipetik daripada akaun palsu.

“Ternyata niat jahat penyebar adalah untuk mewujudkan konflik antara pelbagai pihak dan saya juga tidak terlepas menjadi mangsa ‘fake news’ (berita palsu),” katanya seperti dilapor Bernama.

Justeru beliau mahu pihak bertanggungjawab seperti Agensi Keselamatan Siber Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneliti dasar perundangan supaya relevan dengan perkembangan semasa.

Rosmah berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar #CyberSafe: Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-Kanak di Alam Siber, di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Rosmah berkata ketagihan internet dalam kalangan kanak-kanak merosakkan pergaulan sosial, menggugat fikiran, pembelajaran serta emosi mereka.

Beliau berkata keadaan itu juga menjejaskan hubungan kekeluargaan selain mengurangkan penglibatan golongan itu dalam bidang sukan dan rekreasi.

“Ketandusan hubungan kekeluargaan mengakibatkan kurangnya pemupukan nilai murni serta ‘role modelling’ yang diperlukan untuk mendidik anak-anak menjadi seorang dewasa yang bertanggungjawab dan pencinta kedamaian.

“Ini adalah masalah inter-generasi yang berkitar dan kelak boleh meningkatkan risiko anak-anak menjadi mangsa dan pemangsa jenayah siber,” katanya.

 

Rosmah yang juga penaung Program Permata, turut menarik perhatian peserta seminar itu dengan menyatakan hampir 45 peratus kanak-kanak pada usia tujuh hingga sembilan tahun sudah mahir menggunakan internet manakala 92.5 peratus pula daripada kalangan mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengawasi apa yang ditonton, didengar dan dibaca oleh anak-anak di internet,” katanya.

Turut hadir dalam seminar itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.