Pulau Pinang Perlu Bertanggungjawab Di Atas Kecelakaan 11 Nyawa – Zainal

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan
Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kenyataan Media oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang memaklumkan bahawa projek perumahan di Lembah Permai, Tanjung Bunga itu TIDAK mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar adalah sangat mengejutkan.

Beliau berkata demikian berhubung kejadian tanah yang berlaku di tapak pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah yang melibatkan kehilangan 11 nyawa pada Sabtu, 21 Oktober lalu.

“Apakah Pihak Berkuasa Negeri, samada OSC atau Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) telah mengenepikan pandangan jabatan-jabatan teknikal semasa memberikan kelulusan itu pada 10 Februari 2015?

“Kita amat hairan bagaimana satu projek yang telah tidak disokong oleh sebuah jabatan teknikal masih diberi kelulusan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

“Seharusnya tiada kelulusan untuk sesuatu permohonan Kebenaran Merancang jika tidak mendapat sokongan SEMUA jabatan teknikal yang terlibat,”tulisnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang segera menubuhkan satu Badan Bebas untuk mengaudit semua kelulusan projek-projek pembangunan di kaki, lereng dan cerun bukit yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri di seluruh negeri itu.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengambil tanggungjawab dan akauntabel di atas kecelakaan melibatkan kehilangan 11 nyawa yang telah berlaku pada Sabtu lalu akibat keangkuhan mereka telah mengenepikan pandangan Jabatan Alam Sekitar.

“Kecelakaan yang berlaku bukan satu kemalangan biasa di tempat kerja. Ia tidak mungkin berlaku sekiranya projek pembinaan ini tidak diluluskan.

“Kita minta Kerajaan Negeri Pulau Pinang hentikan amalan menyalahkan orang lain di atas setiap kecelakaan yang berlaku di Pulau Pinang sejak mereka menjadi Kerajaan Negeri. Sudah lebih SEMBILAN tahun DAP jadi Kerajaan Negeri.

“Belajarlah jadi Kerajaan yang bertanggungjawab, jangan berterusan menjaja slogan Kompeten, Akauntabel dan Telus yang kosong,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.