Lima Trofi Bukan Tiket Jadi Ego – Khai Bahar

KUALA LUMPUR: Khai Bahar menganggap lima trofi yang dimenanginya pada beberapa anugerah sepanjang tahun ini, sebagai isyarat buat dirinya untuk tidak bersikap sambil lewa di arena seni.

Sememangnya, penyanyi ini antara bakat baharu yang sering menjadi pilihan peminat apabila namanya dicalonkan dalam sesebuah anugerah.

Pada April lalu, memenangi kategori Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, manakala menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 pada Mei lalu, Khai pulang dengan dua trofi iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular.

Baru-baru ini, dalam Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) di Singapura, mengangkat namanya sebagai pemenang kategori Lagu Paling Popular APM (menerusi lagu Bayang) dan Artis Paling Popular APM 2017.

“Saya lihat perjalanan saya dalam bidang muzik ini masih jauh. Lima trofi yang saya peroleh, menjadi bukti dan isyarat, bukan lagi masanya untuk saya bermain-main di arena seni.

“Pada masa sama, saya bersyukur apabila bakat yang saya mula diterima sekalipun pada awalnya ada juga yang bersikap skeptikal. Rasanya, ia senario biasa bagi saya yang baru setahun empat bulan menyertai dunia seni.

“Anugerah yang dimenangi ini pula bukannya tiket untuk saya menjadi ego atau mendabik dada. Ia sebaliknya terus membakar semangat saya untuk memperbaiki lagi kemampuan diri,” katanya.

Khai atau nama penuhnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, yang tidak dapat menerima trofi APM 2017 yang berlangsung baru-baru ini, kerana berada di Hong Kong bagi menjayakan konsert anjuran kelab peminatnya di sana.

Penyanyi yang kini popular dengan single Luluh turut berterima kasih kepada sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi sejak dirinya mula bertapak dalam bidang muzik.

“Kejayaan ini takkan hadir tanpa sokongan dan undian peminat. Hakikatnya saya tidak menyangka akan muncul pemenang pada APM 2017 kerana acara itu menggabungkan artis tiga negara, Malaysia Singapura dan Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Khai akan terbabit dalam program Kembara Jiwa dan Kemanusiaan, Umrah dan Ziarah ke Istanbul, Turki, anjuran Syria Care pada 31 Oktober ini.

Sambil menjayakan program itu, Khai turut mengambil kesempatan membawa ibu bapanya menunaikan umrah.

“Ikutkan perancangan asal, saya mahu membawa mak dan ayah menunaikan umrah tahun depan. Kebetulan saya terbabit dalam program ini, alang-alang saya bawa mereka sekali.

“Saya gunakan duit sendiri kerana ia memang menjadi niat saya sejak awal lagi,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.