Demi Anak, Syatilla Rela Terima Watak Kecil

xKUALA LUMPUR: Biarpun permata hati, Syeriv Samheizy, sudah pun berusia lima bulan, namun pelakon, Syatilla Melvin, belum sanggup untuk berjauhan bagi tempoh lama dengan anak lelakinya.

Justeru, andai ada undangan lakonan pun, isteri kepada Shaheizy Sam ini lebih rela melakonkan watak kecil sekadar melepaskan rindu.

Katanya, selepas lebih setahun memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan kini bergelar ibu, beliau mengaku ada kala berasa rindu untuk ke lokasi penggambaran.

“Saya baru menerima tawaran berlakon drama, Kerna Syurga Bukan Percuma, yang ditunjangi Elfira Loy dan Fikry Ibrahim. Menerusi drama itu, saya hanya membuat penampilan khas, yang memerlukan saya berada di lokasi selama dua hari.

“Jadi, sedikit sebanyak dapatlah saya melepaskan rindu untuk berlakon,” katanya yang membawakan watak penjual burger bernama Adawiya dalam naskhah terbabit.

Katanya, jika diikutkan, banyak juga tawaran yang ditolak kerana tidak mahu tinggalkan anak lama-lama.

“Lagipun, suami saya pun terbabit dalam penggambaran filem ketika ini. Jadi, seorang daripada kami kena berkorban untuk pastikan anak mempunyai ibu atau bapanya di sisi,” kata pelakon drama Sha dan Shah itu.

Menurut Syatilla juga, hingga kini beliau lebih selesa menjaga anak tanpa bantuan pengasuh.

“Saya rasa lebih afdal menjaganya sendiri. Pada usianya kini, biarlah dia selalu ada di depan mata,” katanya.

Kali terakhir Syatilla berlakon adalah sekitar Mei tahun lalu, sewaktu terbabit dengan penggambaran telefilem khas raya, Sha dan Shah, bergandingan dengan Kamal Adli.

Syatilla dan Sam mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.