‘Cleaner’ Pulangkan Dompet Berisi Wang RM12,000 Dipuji Netizen

Di laman sosial, rata-rata netizen memuji tindakan terpuji wanita terbabit yang menyerahkan dompet mengandungi lebih RM12,000 yang ditemuinya di bilik persalinan bayi di tingkat tiga Kompleks Beli Belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, 9 Oktober lalu.

Dalam kejadian tersebut, pekerja yang dikenali sebagai Markina Samana, 43, langsung tidak mengetahui bahawa dompet yang ditemui sebenarnya mengandungi sejumlah wang yang banyak, sebaliknya segera menyerahkan dompet itu kepada penyelianya, lapor Metro.

“Saya tak membukanya kerana ia bukan milik saya dan tiada hak untuk melihat isi kandungan di dalamnya,” katanya memetik akhbar tersebut, semalam.

Markina berkata, dia hanya mengetahui mengenai jumlah wang tersebut selepas Unit Keselamatan Berjaya Times Square menyerahkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada hari sama dompet itu dijumpai.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata dompet tersebut mengandungi 30 keping dolar Amerika Syarikat dan beberapa keping wang kertas Syria, lapor Bernama.

“Manusia yang jujur dan ikhlas macam ini lah yang patut ramai di dunia. Penyelia dia pun ikhlas, pihak keselamatan di situ pun terbaik. Tahniah, semoga Tuhan saja yang membalas (kebaikan) pada kalian semua,” tulis pengguna Facebook Yunus Abdullah, memuji sikap pekerja terbabit dan pihak pengurusan syarikat.

Netizen menyatakan kejujuran yang ditunjukkan pekerja terbabit seharusnya mengubah persepsi buruk segelintir masyarakat terhadap pekerja pembersihan terutamanya warga asing yang sering menjadi sasaran setiap kali berlaku insiden kehilangan barangan.

“Kadang-kadang orang pandang rendah pada pekerja ‘cleaner’, bila sahaja ada kes kehilangan barangan atau duit di pejabat, (orang) pertama sekali dituding dan dicari adalah ‘cleaner’.

“Alhamdulillah… terbukti kakak ini bekerja bukan semata-mata untuk mencari rezeki tetapi menjalankan amanah dengan berpegangkan kejujuran serta iman yang mantap. TAHNIAH,” kataCharris Dhsb.

“Ini salah satu contoh bahawasanya ada juga orang Indonesia yang baik dan jujur. Kepada sesetengah orang yang suka sangat menghina dan memburukkan orang Indonesia hanya kerana salah seorang warga Indonesia buat hal, bolehlah tengok pada orang ini,” tambah pengguna Facebook Fatin Syahira.

Susulan insiden tersebut, Mohd Sukri menyampaikan penghargaan kepada Markina dalam satu majlis yang diadakan di kompleks membeli-belah itu, pada Ahad.

Beliau berkata, tindakan sedemikan perlu dijadikan tauladan dan dicontohi oleh pihak lain agar dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan jujur.

Mohd Sukri dalam pada itu menggesa pemilik dompet tersebut tampil untuk menuntutnya di Balai Polis Tun HS Lee, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan dalam beg duit tersebut melainkan sekeping gambar dua lelaki dan dua wanita dewasa bersama dua kanak-kanak dipercayai warga Timur Tengah.

“Buat masa ini, kita masih belum mengenal pasti siapa pemilik dompet ini kerana tiada laporan kehilangan dibuat.

“Tetapi kita percaya pemiliknya adalah warga Timur Tengah berdasarkan gambar yang ada dalam beg duit itu,” katanya memetik Bernama.

Semoga kejujuran yang dipamerkan pekerja warga Indonesia itu menjadi inspirasi kepada kita dan semua di luar sana untuk sentiasa melakukan kebaikan, bersikap jujur serta tidak mudah gelap mata apabila menemui barangan berharga.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.