Elly Mazlein Kena Sara Anak, Persoal Pendedahan Bekas Suami

KUALA LUMPUR — Penyanyi Elly Mazlein mempersoalkan motif akuan bersumpah dibuat bekas suaminya di saat dirinya sibuk mencari wang.

 

Elly, nama popular Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, Azmi Hatta boleh sahaja membuat akuan bersumpah itu lebih awal tetapi pendedahannya baru-baru ini menimbulkan persoalan.

 

“Cuma saya ralat kenapa dia tidak buat pendedahan itu awal-awal lagi selepas saya mendedahkan penceraian kepada umum pada 9 Mac lepas.

 

“Kenapa lapan bulan berlalu baru nak buka cerita dalam selimut? Saya mempertikaikan tindakannya itu pada saat saya baru nak cari duit.

 

“Tertanya-tanya saya, kenapa baru sekarang dia nak tunjuk belang? Sedangkan dia tahu saya perlu bekerja, kena cari duit,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

 

Azmi, 41, pada Selasa mendedahkan Elly seorang yang panas baran dan kerap menyerangnya di set penggambaran kerana cemburu dengan pelakon wanita di bawah arahannya.

 

“Kami tidak henti bertengkar, dia melemparkan kata-kata kesat biarpun saya sudah bersumpah dengan nama Allah (terhadap sesuatu perkara).

 

“Baju saya ditarik sehingga koyak, Elly juga menumbuk, memukul malah sampai tahap sepak terajang saya di dalam kereta ketika dia datang menyerang di lokasi,” beliau dilaporkan berkata.

 

Pasangan ini berkahwin pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika penyanyi Usah Ditambah Bara Tersimpan itu hamil empat bulan.

 

Ibu kepada Putri Zara Sephia merupakan peserta Gegar Vaganza musim ketiga dan malam ini akan mempersembahkan lagu Ziana Zain berjudul Berpisah Jua.

 

Elly, 36, berkata walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan Azmi dalam akuan bersumpah berkenaan namun dirinya mengambil pendekatan untuk tidak membalas dendam.

 

“Saya tertanya-tanya apa motif tindakannya membuat akuan bersumpah? Jemput wartawan dan buat sidang akhbar sebegitu?

 

“Adakah kerana sengaja mahu menghapuskan semangat saya atau ingin memporak-perandakan periuk nasi saya.

 

“Saya tidak akan membalas dendam. Lagipun saya sudah memaafkan dia. Sudah move on pun sejak kes tuntutan nafkah anak saya berjaya di mahkamah baru-baru ini,” beliau dilaporkan berkata. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.