Wan Azizah Kemuka Usul Tidak Percaya Pada PM

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Menurutnya, usul itu difailkan seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Konvensi Parlimen dan Peraturan 26 dan 27 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat Malaysia.

 

Katanya, usul itu telah diterima Pejabat Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

 

“Bukan sahaja 88 ahli parlimen pembangkang, namun ada bilangan ahli parlimen BN juga tidak yakin terhadap Najib,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

 

Wan Azizah berkata, usul tersebut hanyalah berkenaan hilang kepercayaan terhadap Najib dan bukannya kerajaan.

 

“Kami percaya bahawa krisis ekonomi, sosial dan politik tenat yang sedang dihadapi negara ini berpunca daripada krisis kepimpinan negara,” katanya.

 

Wan Azizah berkata, di bawah pentadbiran Najib, rakyat semakin menderita dengan kos sara hidup yang meningkat.

 

“Transformasi yang uar-uarkan oleh Najib terbukti gagal dan hanya retorik semata-mata,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun terdapat faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit, sentimen yang disebut oleh ahli profesional menyatakan cara pengurusan siasatan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion di dalam akaun Najib adalah salah satu puncanya.

 

Selain itu, Wan Azizah turut mendakwa kerajaan menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) walaupun sebelum ini mendapat jaminan di Parlimen bahawa akta ini tidak akan diperalatkan.

 

Menurutnya, tinjauan terkini juga mendapati populariti Najib menjunam ke tahap paling teruk dalam sejarah.

 

Wan Azizah yakin ahli parlimen tidak kira dari pihak pembangkang atau kerajaan akan mengundi dengan ikhlas.

 

“Kita mesti mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya. Kita tidak harus mengekalkannya dan membiarkan rakyat hilang pekerjaan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.