Polis Akan Jumpa Xavier Justo Di Thailand Minggu Depan – KPN

KUALA LUMPUR – Sepasukan pegawai polis dari Bukit Aman akan ke Thailand minggu hadapan untuk berjumpa dan merekod keterangan dari Xavier Andre Justo berhubung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penghantaran pasukan itu dibuat selepas polis Thailand memberikan kebenaran bagi polis Malaysia berjumpa dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (Petrosaudi) itu.

 

“Saya jangka pihak kami akan berjumpa dengan beliau pada minggu hadapan untuk menemu bual dan mendapatkan dokumen berkaitan.

 

“Bagaimanapun, kami belum mendapat tarikh sesuai untuk berjumpa dengan Justo kerana beliau perlu menjalani ‘Case Management’ di sana, di samping perlu melihat aspek kesesuaian masa kedua-dua pihak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Program Diploma Sains Siasatan Sesi 2013/2014 di sini, Jumaat.

 

Justo, 49, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan di Thailand pada 17 Ogos lepas kerana memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi.

 

Dia ditahan di rumahnya di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand pada 22 Jun lepas selepas pegawai PetroSaudi membuat aduan bahawa lelaki itu cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss Franc (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

 

Kes Justo menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin antara PetroSaudi dan 1MDB. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.