Tolak Usaha Gugat Keharmonian Negara – Ismail

Maran – Rakyat perlu menolak sebarang usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini kerana ia boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata sudah ada tanda-tanda menunjukkan segelintir pihak yang iri hati kejayaan negara, cuba menggugat keharmonian rakyat dengan isu-isu sensitif termasuk berkaitan agama.

“Yang menyedihkan ada rakyat negara ini sendiri yang sanggup menjadi tali barut dan melakukan perkara sensitif serta bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali di rumah Ketua MIC Bahagian Maran M. Punggamanan di Sungei Jerik Maran di sini Rabu.

Ismail berkata semua pihak perlu mempertahankan keharmonian yang sedang dikecapi bagi membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak pembangunan dan kegiatan ekonomi untuk kebaikan rakyat.

“Negara yang huru-hara dan bergolak bukan sahaja menyebabkan rakyat menderita, malah tiada pelabur yang akan datang…yang akhirnya hanya merugikan rakyat dan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.