Pelajar Politeknik Putus Kepala

Sungai Petani – Seorang pelajar maut dalam keadaan ngeri apabila kepalanya putus setelah motosikal yang ditunggang me­rempuh benteng besi di persimpangan masuk ke Taman Keladi dari Jalan Lencongan Timur Sungai Petani, di sini pagi semalam.

Mangsa, Mohd. Nasri Rusydi Yusof, 19, dari Taman Permata Semarak di sini meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi.

Kemalangan dikatakan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal RXZ dari Taman Keladi menuju ke rumah seorang rakannya di Bandar Puteri Jaya di sini.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan kepalanya terputus dipercayai terkena besi tajam dan anggota badannya tercampak lebih 20 meter.

Bapa mangsa, Yusof Ismail, 45, memberitahu, dia begitu terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

“Dia menunggang motosikal seorang diri dan keadaan jalan raya di kawasan itu dipercayai agak gelap dan kita tidak mengetahui apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Yusof, anak sulungnya itu adalah pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Syed Sarajuddin, Arau, Perlis.

“Saya menerima hakikat dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Muhibuddin, Kampung Sungai Pasir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisio­ner Khalil Arifin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.