Malaysia Atasi Sasaran Pingat Di Sukan Para Incheon

Oleh: Karina Imran

Incheon – Dengan merangkul pingat emas kesebelas pada Sukan Para Asia Incheon pada Rabu, Malaysia berjaya mengatasi sasaran kutipan pingat di sukan itu.

Sasaran kontinjen negara ialah sembilan pingat emas, menyamai kutipan di temasya itu di Guangzhou, empat tahun lepas.

Pingat kesebelas itu disumbangkan oleh atlet olahraga, Mohamad Faizal Aideal Suhaimi.

Beliau membawa berita gembira itu sebaik sahaja merekodkan catatan masa selama 11.33 saat sekaligus menjadi juara acara 100m Lelaki T12 di Stadium Utama Asiad Incheon.

Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata: “Ini adalah prestasi terbaik daripada atlet kita. Mereka bersungguh-sungguh untuk menaikkan nama negara di persada dunia.

“Saya harap kita akan dapat pungut lebih banyak pingat sebelum temasya ini berakhir,” katanya.

“Pingat negara seterusnya mungkin dapat diperoleh melalui sukan badminton dan boling padang…mungkin juga dari sukan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan acara olahraga.

Katanya, kejayaan meraih 11 pingat emas itu adalah hasil daripada program pembangunan atlet paralimpik yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Abdul Jalil berkata program yang bermula pada 2010 itu akan diteruskan untuk pembangunan sukan-sukan lain.

Tambahnya, atlet seperti Mohammad Azlan Mat Lazin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Siti Noor Radiah Ismail merupakan ikon negara bagi sukan paralimpik.

Pada hari kelima temasya itu hari ini, Malaysia sudah mengumpul 11 pingat emas, 17 perak dan 21 gangsa.

Sebanyak 135 atlet negara bertanding dalam 15 daripada 25 acara dipertandingkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.