Tindakan Sita ‘Kancil Lejen’ Kerana Keadaannya Terlalu Teruk – Polis

KEADAAN fizikal terlalu teruk menyebabkan Perodua Kancil lusuh yang tular di media sosial sebelum ini disita polis, 20 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kereta itu tidak sesuai digunakan di jalan raya berikutan keadaannya terlalu teruk.

“Kami sita kereta itu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana ia tidak sesuai berada di atas jalan.

“Ia bukan saja membahayakan nyawa individu yang memandu kereta itu, malah boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pemilik kereta itu dibenarkan untuk menuntut semula kenderaan berkenaan, namun perlu melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia selamat digunakan di jalan raya.

“Kereta itu perlu melakukan pemeriksaan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menentukan sama ada ia boleh digunakan atau sebaliknya.

“Jika tidak, pemilik perlu menyelenggara kenderaan itu mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa sebelum dibenarkan untuk digunakan di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk memiliki dan menggunakan kenderaan model lama, namun ia harus diselenggara dengan kerap bagi memastikan ia boleh digunakan di atas jalan raya.

“Ramai individu yang mempunyai minat memiliki kenderaan model lama. Namun, mereka harus tahu bahawa ia perlu diselenggara dengan kerap dengan melakukan pemeriksaan di agensi tertentu.

“Langkah itu penting bagi memastikan kenderaan yang diguna tidak mendatangkan bahaya kepada pemandu serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Perodua Kancil lusuh itu disita polis selepas ditemui di bahu jalan di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Gombak pada 20 September lalu.

Semakan mendapati cukai jalan kereta berkenaan sudah tamat tempoh sejak September tahun lalu selain pemandu kenderaan itu berusia 45 tahun didapati tidak memiliki lesen memandu.

Berdasarkan rekod, kereta itu dimiliki seorang lelaki berusia 75 tahun dipercayai ahli keluarga pemandu berkenaan.

Sebelum ini, kisah mengenai kereta yang turut digelar warganet sebagai ‘Kancil lejen’ itu tular di media sosial selepas didakwa dipandu dalam keadaan tidak sempurna di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.