Video: Rayuan Bapa Adib, Harap Penghakiman Inkues Tegak Keadilan dan Tidak Diganggu

SHAH ALAM – Bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban ketika rusuhan di Kuil Seri Maha Mariaman USJ 25 pada 27 November tahun lalu, berharap agar penghakiman inkues anaknya itu dapat dijalankan dengan adil tanpa diganggu mana-mana pihak.

Menerusi klip video penuh hiba dan emosi itu, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, keputusan inkues yang ditetapkan pada 27 September ini adalah penentu sama ada keadilan buat anaknya dapat ditegakkan atau sebaliknya.

“Kehidupan kami seolah-olah tidak sempurna dan sentiasa memikirkan perihal keadilan yang tertangguh untuk Adib. Saya dimaklumkan bahawa pada 27 September ini adalah keputusan inkues di Mahkamah Shah Alam.

“Ini adalah penentu sama ada keadilan untuk Adib dapat ditegakkan atau sebaliknya. Kami sekeluarga tidak pernah jemu berdoa untuk Adib, memohon kepada ALLAH agar misteri kematian Adib dapat diadili sebaiknya,” katanya hari ini.

Mohd Kassim turut mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa agar keputusan inkues tersebut memberi keadilan kepada Muhammad Adib.

Menerusi video berdurasi 2.44 saat itu, ibu Muhammad Adib turut kelihatan berada di samping suaminya.

Berita berkaitan;

Bapa Adib Dapat Kebenaran Koroner ‘Heret’ Tommy Thomas Ke Mahkamah

Peguam Keluarga Adib Harap Tiada Lagi Campur Tangan Peguam Negara

Menteri Tolak Gesaan Tubuh RCI Siasat Kematian Adib

Sementara itu pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Koroner menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar, yang berlangsung selama 41 hari selain 137 ekshibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.