“Tak Sabar Jadi PM? Aku Tunggu 20 Tahun Dah!”

IPOH – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya yang mahu bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai usaha untuk kembali semula ke parlimen.

Anwar juga menafikan bahawa keputusan untuk bertanding dalam PRK itu disebabkan beliau tidak sabar mahu menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. 

Sebaliknya ujar Anwar, beliau sudah lama sabar menanti sejak 20 tahun lalu, justeru keputusannya itu tidak perlu dipertikaikan.

“Ada orang bangkit mempersoalkan (bertanding di Port Dickson). Dia kata (saya) tak sabar ni (jadi PM). Tak sabar apa? Aku tunggu 20 tahun dah.

“Apa masalahnya? Lainlah kalau saya bertanding 13 Oktober, kemudian pada 15 Oktober saya akan bawa undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir, kalau itu iyalah (tak sabar),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Amanat Perdana Malaysia Baharu di Dewan Auditorium RTM di sini, malam tadi. 

Sungguhpun mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti terhadap keputusannya bertanding dalam PRK tersebut, namun jelas Anwar beliau mendapat sokongan sebulat suara daripada pimpinan parti untuk memberi kemenangan kepadanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 13 Oktober ini sebagai tarikh pengundian bagi PRK Port Dickson manakala 29 September sebagai hari penamaan calon. 

Dalam pada itu, Anwar turut menjawab tuduhan bahawa beliau seorang yang ‘sangat Melayu’ dan ‘tidak Islam’.

“Saya katakan kepada mereka, kalau saya hilang Melayu, saya hilang Islam, maka saya tak layak jadi Perdana Menteri.

“Sudah tentu kita nak pertahankan kedudukan Melayu, namun dalam parti ini, ramai kaum India menjadi ahli maka walaupun saya mempertahankan kepentingan orang Melayu, saya juga kena jaga orang-orang yang beri sokongan kepada parti,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.