PKR P.Pinang Desak Parti Beri Penjelasan Kelemahan Sistem E-Undi

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat Dr Afif Bahardin melahirkan rasa tidak puas hati ekoran insiden kekecohan sewaktu proses pemilihan di Pulau Pinang yang berpunca daripada kelemahan sistem e-undi. 

Beliau berkata apa yang berlaku sewaktu proses pemilihan terutama masalah nama calon serta senarai nama pengundi tiada dalam sistem e-undi adalah sangat mendukacitakan serta memalukan parti.

Ujarnya, beliau serta anggota PKR di Pulau Pinang mendesak parti itu memberi penjelasan berhubung kekeliruan dan permasalahan yang timbul terutama berhubung e-undi pada Pemilihan PKR 2018 yang berlangsung di negeri itu, semalam.

“Proses pemilihan buat pertama kali hari ini menggunakan sistem yang baharu dan apa yang kami nampak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR kurang bersedia untuk melaksanakan pemilihan, sebab itu timbul pelbagai masalah.

“Jadi kami desak supaya PKR terutama JPP PKR dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas permasalahan yang timbul dan memberi penjelasan kepada seluruh anggota apa yang berlaku,” katanya pada sidang media di Butterworth malam tadi.

Dr Afif, yang bertanding calon Ketua AMK pusat, berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan rasmi kepada JPP PKR bagi meminta keputusan pemilihan PKR 2018 di Pulau Pinang dibatalkan dan dibuat semula kerana banyak pihak terutama di kalangan calon tidak berpuas hati.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop berkata dalam satu sidang media sebelum itu di tempat yang sama malam tadi, keputusan pengundian bagi pemilihan PKR di Pulau Pinang hari ini diterima tanpa perubahan sehingga terdapat bantahan secara bertulis daripada pihak yang tidak berpuas hati.

Katanya JPP akan meneliti semua bantahan itu dan mengadakan perbincangan di peringkat JPP dan kepimpinan PKR sebelum menentukan sama ada keputusan di Pulau Pinang akan dikekalkan atau sebaliknya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.