Pemimpin Dipercayai Dalangi Kekecohan Pemilihan PKR Di Kedah

SUNGAI PETANI – Pemimpin PKR Kedah dipercayai menjadi dalang di sebalik kekecohan yang berlaku ketika proses pemilihan PKR di beberapa cabang di negeri itu, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, pihaknya percaya kejadian tersebut telah dirancang sebelum pemilihan berlangsung, malah beliau difahamkan kumpulan yang menimbulkan kekecohan hingga berlaku pergaduhan itu didalangi individu yang sama.

“Kejadian tersebut juga berlaku secara berturut-turut bermula di tempat pemilihan Cabang Sungai Petani diikuti Cabang Merbok sebelum merebak ke Cabang Jerai.

“Saya yang berada di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hwa, Gurun untuk meninjau perjalanan pemilihan PKR Cabang Jerai terkejut dengan kekecohan yang dilakukan lebih 50 ahli PKR termasuk dari cabang lain,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Media semalam melaporkan pemilihan bagi sembilan daripada 15 cabang di negeri ini ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan mengalami masalah teknikal.

Masalah itu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli yang hadir sehingga mengakibatkan tercetusnya pergaduhan di lokasi pengundian berikutan segelintir daripadanya naik berang kerana menunggu lama.

Bagaimanapun, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop dalam satu sidang media malam tadi memaklumkan semua proses pengundian pemilihan PKR di Kedah dibatalkan atas faktor beberapa isu berbangkit.

Dalam kekecohan yang berlaku di cabang Merbok, seorang individu cedera pada bahagian kepala dipercayai terkena kerusi yang dibaling.

Berikutan itu polis menahan 14 lelaki yang dipercayai terlibat menimbulkan kekecohan berkenaan. Namun, seorang lelaki berumur lingkungan 50-an telah dibebaskan dengan jaminan polis atas sebab kesihatan.

Sementara itu 13 lelaki lain direman tiga hari untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.