Pemilihan PKR Kecoh, Dicemari Pergaduhan dan Kerusi Terbang

SEBERANG JAYA – Sidang media Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Rashid Din yang diadakan di sebuah dewan di sini dicemari dengan insiden baling kerusi yang berlaku, malam tadi.

Semuanya disebabkan rasa tidak puas hati beberapa penyokong dan ahli parti itu yang mahukan JPP membatalkan dan melakukan pemilihan semula di 13 cabang di negeri ini.

Kekecohan berkenaan berlaku ketika Rashid dan beberapa ahli jawatankuasanya diiringi keluar daripada bilik sidang media oleh pasukan keselamatan selepas membuat beberapa pengumuman penting pada sidang media berkenaan.

Antara yang diumumkan Rashid mengenai pembatalan dan pemilihan semula yang akan dilakukan di semua peringkat cabang di Kedah.

Ketika diiringi keluar, penyokong dan anggota parti dilihat melakukan provokasi dengan melaungkan agar tidak membenarkan ahli JPP keluar dari bilik sidang media.

Mereka juga dilihat cuba menutup pintu bilik berkenaan sebelum dihalang oleh pasukan keselamatan dan mula berlaku kekecohan.

Keadaan menjadi tegang apabila berlaku pergelutan membabitkan pasukan keselamatan, penyokong dan ahli parti sebelum berlaku insiden kerusi terbang di dalam bilik berkenaan.

Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal tidak lama kemudian.

Akibat kejadian itu beberapa orang dilaporkan cedera termasuk seorang yang mengalami luka di bahagian kepala. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.