Janji Berkaitan PTPTN Antara Sebab Pengundi Pangkah PH – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan pengundi yang memangkah PH pada PRU14 lalu kerana janji manis berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hal demikian, menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian adalah tidak adil melabel peminjam PTPTN yang gagal membayar hutang sebagai tidak amanah.

Bagaimanapun, Sivamurugan menjelaskan, PH secara praktikal hanya membuat penelitian data menyeluruh selepas mengambil alih kepimpinan pusat baru sedar janji ini sukar dilaksanakan buat masa ini.

“Ya sebab sebilangannya memangkah untuk pastikan hasrat ini (penangguhan bayaran PTPTN) dipenuhi.

“PH pula baru sedar keadaan kewangan meruncing ketika mengambil alih pentadbiran negara, membuatkan janji manifesto ini sukar dilunaskan.

“Walau bagaimanapun, peminjam yang terikat dengan terma perjanjian dan berkemampuan elok tampil dan membayar hutang ini untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dana tabung pendidikan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Masyarakat USM ini turut mencadangkan agar Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan boleh mengemukakan tawaran baharu kepada peminjam sebagai alternatif kepada janji pilihan raya.

Beliau turut membahagikan beberapa kategori peminjam PTPTN antaranya, membayar ansuran seperti ketetapan PTPTN, membayar ketika mampu dengan perundingan dengan PTPTN yang menyediakan beberapa pakej tetapi ada juga yang menanti untuk tidak membayar agar ia lupus secara automatik seperti janji Pakatan Rakyat pada 2013 dan penangguhan bayaran seperti yang termaktub dalam janji PH, 2018.

“Hakikatnya, ada yang berkemampuan tetapi mengambil sikap tunggu dan lihat, namun ada juga hanya bertindak apabila nama disenarai hitam.

“Dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan bebanan bertambah, ada yang sukar mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan sijil mereka dan menjangkakan kemenangan PH akan mengurangkan beban mereka.

“Manakala bagi PH pula, keadaan semasa tidak mengizinkan untuk mereka melaksanakan janji PRU14 sepenuhnya . Peminjam dan pemegang autoriti masing-masing berada dalam dilema,” jelasnya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.