Jangan Marah Peminjam PTPTN – Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak sepatutnya memarahi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana tidak melangsaikan hutang.

Pada masa sama, Bekas Perdana Menteri menasihatkan peminjam supaya membayar hutang pendidikan masing-masing mengikut kemampuan kerana akibat langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang populis dan tidak bijak, kerajaan sedang mengalami tekanan fiskal yang teruk.

Beliau berkata peminjam PTPTN sudah dihasut selama 10 tahun oleh Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membayar balik pinjaman, namun kini sering pula peminjam dimarahi dan dilabel sebagai tidak amanah.

“Mereka tidak sepatutnya dimarah sebagai tidak amanah, memalukan bangsa sendiri dan kini dimarah supaya mengabaikan janji manifesto PH.

“Peminjam PTPTN hanya mahu menuntut PH untuk tunaikan janji mereka.

“Sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

“Kerajaan sudah kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion setiap tahun selepas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), melaksanakan semula subsidi pukal dan mengalami ketirisan dalam pengutipan cukai korporat dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan meminta pihak tertentu terutamanya pembangkang supaya tidak mengaitkan isu hutang PTPTN dengan manifesto PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata setiap peminjam perlu berusaha untuk melunaskan hutang berkenaan kerana ia dituntut di dalam Islam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.