Hanya Calon Yang Rasa Kalah Guna Kekecohan, kata Rafizi

SHAH ALAM – Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata kekecohan oleh kumpulan tertentu semasa pemilihan parti pada Sabtu didalangi pihak yang rasa terancam atas kekalahan lalu.

Justeru itu katanya calon yang kalah dalam suatu jawatan menggunakan kumpulan tertentu untuk mencetuskan huru-hara.

“Bila dia rasa nak kalah akan ada orang buat provokasi, mereka akan mula marah-marah nak buat protes.

“Calon yang rasa dia nak kalah memang pasang orang nak buat kacau,” katanya dipetik daripada portal The Malaysian Insight.

Semalam, kekecohan dan pergaduhan dilapor tercetus di kalangan anggota PKR di Seberang Jaya, Pulau Pinang sehingga menyaksikan adegan membaling kerusi kepada pihak lawan.

Ketegangan juga dilapor berlaku di Kedah, memaksa pemilihan di lapan daripada 15 cabang di negeri itu ditangguhkan.

Lewat malam tadi, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memutuskan proses pengundian di lima negeri – Kedah, Perak, Perlis, Melaka dan Johor – ditangguh.

Seteru Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu turut mencadangkan agar PKR pada masa akan datang bekerjasama dengan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelakkan insiden yang sama berulang lagi.

“Saya akan suarakan pada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim lepas ini kita minta kerjasama polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Ada orang gila nak pecahkan kepala, kita panggil polis bubuh mereka dalam lokap,”tambahnya ketika berucap dalam pertemuan Pasukan Reformasi 20 Tahun di ibu negara, malam tadi.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.