Guna Semula Sistem Undi Lama – PKR Perlis

KANGAR: PKR Perlis mahu sistem pengundian lama diguna pakai semula pada pemilihan parti kali ini, selepas sistem e-undi yang diperkenalkan tahun ini mula menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli.

Pengerusinya, Mohd Faisol Abdul Rahman, berkata kelemahan sistem berkenaan menyebabkan ahli menjadi panik hingga tercetus suasana tidak puas hati sesama ahli seperti yang berlaku pada proses pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang semalam.

“Saya sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku, kita pernah buat latihan ‘dry run’ sebelum ini dan ia sudah mempunyai masalah tetapi tidak dapat diselesaikan.

“Pihak yang memperkenalkan sistem ini perlu bertanggungjawab kerana untuk membangunkan sistem ini ia memerlukan kepakaran syarikat berpengalaman. Kelemahan ini menyebabkan timbul suasana tidak harmoni sesama ahli,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas penangguhan pemilihan PKR di Perlis yang sepatutnya dijadualkan berlangsung hari ini.

Bagi mengatasi masalah berkenaan Mohd Faisol mencadangkan sistem itu dikaji semula dengan mencari syarikat yang lebih layak mengendalikan sistem berkenaan.

Katanya, jika tidak dapat diatasi maka proses pemilihan perlu kembali kepada sistem lama secara manual iaitu mengundi pangkah pada kertas.

“Saya juga berharap parti dapat mengkaji keistimewaan yang diberi kepada ahli baharu PKR yang tidak sampai setahun menyertai parti sudah dibenarkan bertanding kali ini.

“Kita bimbang kemasukan sebegini ada agenda tersembunyi dengan niat jahat. Mohon Presiden mengambil tindakan segera kerana ini bertentangan dengar perlembagaan PKR,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.