Ahmad Jazlan Nafi Mahu Tinggalkan UMNO dan Sertai PPBM

KOTA BHARU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menafikan beliau antara ahli Parlimen yang tersenarai untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia, PPBM.

Tegasnya beliau setia dengan perjuangan UMNO dan tidak akan meninggalkan parti itu seperti yang dilakukan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Saya membuat penafian. Saya tidak akan tinggalkan UMNO. Saya hadapi pilihan raya lepas atas tiket UMNO Barisan Nasional (BN) dan saya serahkan tauliah bertanding.

“Maka saya tidak akan khianati amanah parti dan amanah rakyat yang memilih atas nama UMNO,” katanya pada satu sidang media selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama Biro Politik Empat Peringkat UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di Kota Bharu, pada Sabtu.

Ahmad Jazlan antara 18 Ahli Parlimen yang dikatakan akan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau turut mendakwa terdapat usaha membeli dan mempelawa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan oleh pemimpin Bersatu.

Namun tegasnya, tiada Ahli Parlimen dan ADUN UMNO dari Kelantan yang terpengaruh dengan pelawaan itu.

Dalam masa sama, Ahmad Jazlan melahirkan keyakinan Mustapa. juga dikenali sebagai Tok Pa, tidak akan ‘memancing’ anggota lain untuk keluar meninggalkan parti itu.

Katanya, walaupun Mustapa belum menjelaskan keputusannya keluar parti Selasa lalu, beliau yakin bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri tersebut masih menyayangi UMNO.

“Saya tak terfikir perkara ini akan berlaku tapi kita hormati keputusan beliau atas prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Sehingga hari ini saya belum dapat jumpa beliau untuk mendengar penjelasan berhubung pengundurannya daripada UMNO.

“Saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk tidak menuduh dan membuat andaian yang bukan-bukan kerana penjelasan perlu datang daripada beliau sendiri.

“Tapi saya yakin Tok Pa tidak akan mempengaruhi orang lain untuk meninggalkan parti dan bersama-sama beliau,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas Kelantan, beliau menjelaskan, tiada kerjasama politik diputuskan oleh pucuk pimpinan, namun hubungan terjalin sebagai parti pembangkang di Kelantan.

UMNO Kelantan, katanya, belum lagi mengadakan sebarang rundingan dengan kerajaan Pas Kelantan. – Awani

One thought on “Ahmad Jazlan Nafi Mahu Tinggalkan UMNO dan Sertai PPBM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.