Selepas AS, Malaysia Desak OIC Turut Bantu Rohingya

KUALA LUMPUR – Malaysia mahu negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu menghulurkan bantuan terhadap etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tindakan keganasan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di wilayah Rakhine, sejak 25 Ogos lalu semakin mencetuskan kebimbangan.

Katanya, pelakuan di luar sempadan pemikiran yang mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa itu mencetuskan krisis kemanusiaan sehingga menyaksikan lebih 400,000 etnik Rohingya melarikan diri untuk mencari perlindungan di Bangladesh.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini memuji usaha mulia Bangladesh kerana membantu masyarakat Rohingya susulan nasib yang menimpa etnik berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Koordinasi Tahunan OIC di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Teks ucapan beliau juga dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Anifah berkata, pelarian Rohingya yang ketika ini berada dalam keadaan terdesak dijangka menjadi sasaran mudah untuk direkrut dan radikalisasi oleh puak pelampau jika kemelut di Myanmar tidak ditangani secara tuntas.

Sehubungan itu, Malaysia mendesak Myanmar untuk menghentikan siri keganasan yang meruncing di republik berkenaan, selain memberi laluan kepada misi kemanusiaan menghantar bantuan di wilayah berkaitan.

“Punca sebenar konflik ini wajar dikenal pasti jika kita ingin memperoleh penyelesaian yang akan kekal selamanya,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil satu tindakan ‘lebih kukuh dan pantas’ untuk menamatkan keganasan terhadap masyarakat etnik Rohingya di Myanmar yang kini ditindas. Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa isu Rohingya dalam pertemuan dengan Trump di AS.

Dalam perkembangan lain, Anifah berkata, OIC tersohor di pentas antarabangsa kerana mewakili suara 1.6 bilion masyarakat Islam di seluruh negara, namun adalah menyedihkan apabila segelintir daripadanya kini berada dalam kancah konflik.

Beliau berkata, situasi sedemikian dikhuatiri membuka ruang untuk Daesh menyelinap dan menyebarkan ideologinya dengan menyuntik ‘benih’ keganasan serta ketenteraan dalam minda generasi muda.

“Oleh itu, kita kena berdiri teguh secara bersama untuk mengutuk tindakan keganasan yang mungkin terbit dalam sebarang bentuk dan manifestasi, selain mengekang usaha mereka berlindung serta memanipulasi sumber untuk menghidupkan perjuangan serong ini,” katanya.

Menyentuh konflik antara selatan Thailand dan selatan Filipina, Anifah menyuarakan janji bahawa Malaysia yang berpegang kepada konsep wasatiyah atau kesederhanaan akan terus bertindak sebagai ‘orang tengah’ dalam isu berkenaan.

Mengulas kekejaman Israel untuk menguasai Palestin, Anifah berkata, Malaysia mahu komuniti antarabangsa mematuhi dan berpegang kepada prinsip PBB supaya Israel serta pihak lain yang mendalangi jenayah kemanusiaan diadili secara saksama.

“Komuniti antarabangsa tidak sewajarnya berpeluk tubuh mengenai pelakuan Israel, tetapi pada masa sama mengambil pendekatan berunsur diskriminasi terhadap regim lain,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.