Ridzuan Memang Atlet Luar Biasa

Jaguh pecut skuad olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membuktikan kehebatannya apabila berjaya meraih pingat emas 200 meter (m) kategori T36 (cerebral palsy) pada aksi final Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 semalam.

Ridzuan, 29, dilaporkan belum pulih sepenuhnya daripada demam denggi dan terlepas dua acara iaitu 100m dan 400m, namun mendapat kebenaran daripada pihak doktor kelmarin untuk beraksi pada acara 200m semalam, lapor Kosmo.

Kehadiran semula Ridzuan menyaksikan seterunya dari Indonesia, Muhamad Agung Laksana gagal mengutip pingat emas ketiga peribadi apabila terpaksa berpuas hati meraih tempat kedua semalam.

Ridzuan meraih emas 200m T36 semalam dengan catatan masa 26.03 saat (s) menewaskan Muhamad Agung (26.20s). Seorang lagi wakil negara, Mohd. Rezza Md. Rashid yang meraih pingat gangsa (29.69s).

Ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jaganathan mengakui bimbang dengan keadaan Ridzuan yang memilih untuk beraksi tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Saya risau melihat dia berlari kerana dia baru pulih daripada demam denggi. Begitupun, saya gembira dengan kejayaan ini,” katanya.

Kejayaan Ridzuan memenangi pingat emas bagaimanapun masih gagal membantu kontinjen olahraga para negara mencapai sasaran keseluruhan 40 pingat emas pada temasya edisi kesembilan ini.

Saingan hari terakhir olahraga semalam menyaksikan skuad negara berjaya mengutip tujuh pingat emas menjadikan keseluruhan 36 pingat emas kali ini.

Biarpun gagal mencapai sasaran 40 pingat emas, namun skuad olahraga para negara layak menerima pujian apabila berjaya memperbaiki pencapaian Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura yang mengutip 27 pingat emas.

Sebagai rekod, kontinjen olahraga para negara mengutip keseluruhan 36 pingat emas, 27 perak dan 30 gangsa kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.