Ribuan Pelarian Rohingya Cedera Tembakan, Letupan Jerangkap Samar

COX’S BAZAR, Bangladesh – Bangladesh berkata semalam bahawa ia merawat lebih 2,350 pelarian Rohingya kerana kecederaan serius yang dialami semasa keganasan etnik di Myanmar termasuk luka akibat terkena tembakan, tetakan dan letupan jerangkap samar.

Menurut AFP, pihak berkuasa Bangladesh memberitahu, hampir 14,000 pelarian telah dirawat di hospital dan klinik bergerak kerana penyakit dan kecederaan termasuk 2,364 mangsa keganasan.

“Ini termasuk kecederaan akibat terkena peluru, jerangkap samar atau sen­jata tajam seperti pisau,” kata pegawai kanan kementerian kesihatan, Enayet Hussain, lapor Kosmo.

Pegawai-pegawai Bangladesh percaya pasukan ke­selamatan Myanmar memasang jerangkap samar untuk menghalang pelarian Rohingya daripada kembali ke kampung halaman mereka, manakala beberapa kematian akibat senjata larangan itu telah dilaporkan.

Enayet berkata, hospital dan klinik tempatan penuh sesak dengan pelarian Rohingya tetapi pihak berkuasa bersedia menghadapi kebanjiran mereka.

Kira-kira 422,000 pela­rian Rohingya meninggalkan negeri Rakhine, barat Myanmar sejak 25 Ogos lalu yang mengakibatkan kem-kem di sempadan Bangladesh penuh sesak.

Dalam pada itu, usaha bantuan kepada pelarian Rohingya turut dipertingkatkan.

Sebuah pesawat jumbo Boeing yang sarat dengan 100 tan bekalan telah berlepas dari Arab Saudi menuju ke Bangladesh, manakala Amerika Syarikat (AS) pula mengumumkan bantuan berjumlah AS$32 juta (RM133.9 juta).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!