Pengetua Tahfiz Lega Hasil Siasatan Bomba

Hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mendapati kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur disebabkan unsur khianat boleh membersihkan nama baik pusat tahfiz berkenaan, kata Pengetuanya Mohd Zahid Mahmood.

“Sebelum ini kami dikecam, dilemparkan pelbagai tuduhan. Malah pusat tahfiz lain juga menjadi sasaran kononnya tidak mengutamakan aspek keselamatan. Saya tidak marah dan menerima segala kecaman kerana tahu Allah SWT akan memberikan pertolongan kepada kami.

“Mustahil kami mengabaikan keselamatan anak-anak ini kerana kami bertanggungjawab menjaga mereka dengan baik kerana ia adalah amanah ibu bapa mereka kepada kami,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim semalam bahawa kebakaran pusat itu disebabkan sengaja dibakar.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat itu terkorban akibat terperangkap di asrama pusat itu pada 5.15 pagi Khamis lepas.

 

Susulan itu tujuh remaja ditahan bagi membantu siasatan.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.