Pelajar Ambil Bidang STEM Semakin Berkurangan – Rosmah

Jumlah pelajar universiti yang mengikuti program dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) didapati berkurangan berbanding sasaran kerajaan daripada nisbah 20:80 kepada 60:40.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata berdasarkan Laporan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi: Menjelang 2020, mendapati peratusan pelajar yang cenderung kepada bidang itu menunjukkan trend yang semakin menurun setiap tahun.

Sehubungan itu, Rosmah yang juga Penaung Program Permata menyarankan para siswi lebih cenderung memilih untuk menceburi bidang STEM sebagai bidang akademik dan kerjaya selain mempelbagaikan set kemahiran supaya mereka juga mampu terus kekal berdaya saing.

“Satu lagi cabaran kepada pembentukan sebuah negara maju di abad ke-21 adalah penguasaan dalam bidang Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau ringkasnya STEM.

“Menyedari peralihan dunia industri kepada bidang STEM, kita perlu bersiap siaga menyediakan sumber tenaga kerja dalam bidang ini agar dapat memenuhi keperluan negara dalam masa 25 tahun akan datang,” katanya ketika berucap di Program Siswi Cinta Negara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat Sungai Petani hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam pada itu, Rosmah turut berkongsi tentang Program Permata iaitu Program Permata Pintar dan Permata Insan dengan pelajar diketengahkan silibus pembelajaran yang menjurus kepada bidang STEM di bawah kedua-dua program berkenaan.

“Alhamdulillah, bermula dari tahun 2009, Permata di bawah naungan saya sendiri, telah pun memikirkan tentang peri pentingnya bidang STEM ini dalam memenuhi keperluan modal insan negara di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata kini program berkenaan telah melahirkan para graduan cemerlang dalam bidang STEM dan sejumlah daripada mereka pula sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di universiti terkemuka luar negara.

“Saya yakin, sekembalinya mereka ke tanah air mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara dalam industri STEM, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata golongan siswi perlu mempersiapkan diri dengan set kemahiran yang baharu dalam usaha mendepani cabaran Industri 4.0 yang telah menggariskan kepentingan penguasaan elemen 4C iaitu Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah, Komunikasi, Kolaborasi dan Kreativiti.

“Kemahiran ini perlu diasah dan dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan baik dalam pembelajaran, kesukanan, aktiviti sosial dan lain-lain lagi. Malah, kreativiti dan inovasi, literasi teknologi serta kecerdasan emosi dianggap sebagai kemahiran tiga teratas yang perlu ada kepada seseorang pekerja di era Industri 4.0,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata golongan siswi juga perlu menguasai teknologi terkini atau kecekapan digital dalam usaha memastikan wanita muda kekal berdaya saing dalam apa jua industri yang diceburi.

“Wanita tidak boleh ketinggalan dalam penguasaan teknologi kerana ia adalah kemahiran abad ke-21 yang perlu digarap dan dipraktikkan dalam usaha meningkatkan pendapatan, kemajuan kerjaya dan mewujudkan jaringan perhubungan… perkara ini boleh tercapai sekiranya wanita juga menggunakan sepenuhnya kapasiti internet dan teknologi terkini,” katanya.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.