Makcik Mah Terharu Terima Kunjungan PM

PEKAN – Bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Salong, di sini, terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluangkan masa melawatnya di Kampung Baru Salong, sebentar tadi.

Fatimah Mahidin, 76, yang mengenakan pakaian rasmi wanita UMNO, iaitu baju kurung berwarna putih serta merah, kelihatan gembira dapat berjumpa pemimpin tertinggi negara itu.

“Makcik pakai baju UMNO sebab bapa (merujuk Najib sebagai Presiden UMNO) datang hari ini. Seronok bila Perdana Menteri melawat untuk bertanya khabar,” katanya.

Fatimah yang menjadi Ketua Wanita UMNO Cawangan Salong lebih 40 tahun dan antara pengasas UMNO cawangan itu, kini menghidap penyakit darah tinggi dan penyakit saraf di bahagian kaki.

Dalam lawatan itu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan turut menyampaikan sumbangan susu, lampin pakai buang, wang dan kerusi roda kepada Fatimah.

Anak ketiga Fatimah, Alawiyah Saman,53, berkata ibunya antara pengasas UMNO cawangan itu bersama bapa mereka, Allahyarham Saman Ter, 78, yang meninggal dunia akibat barah paru-paru kira-kira 10 tahun lalu.

“Ibu cukup bersemangat dalam perjuangan UMNO, sanggup bersama-sama menggantung bendera dan poster di pokok ketika kempen pilihan raya.

“Bila dia kurang sihat, kami nasihatkan supaya ibu perlahankan kegiatannya. Namun, sampai sekarang ibu masih bersemangat dengan perjuangan UMNO.

“Dia sangat gembira apabila Perdana Menteri melawatnya hari ini. Dia bangun awal pagi dan minta dipakaikan baju rasmi UMNO,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.