London Batal Lesen Uber

LONDON – London semalam bertindak membatalkan le­sen aplikasi teksi, Uber untuk beroperasi di kota raya berkenaan mulai hujung bulan ini.

Tindakan tersebut akan mengakibatkan lebih 40,000 pemandu Uber di kota raya antara terbesar di dunia itu terjejas.

Pengangkutan untuk London (TfL) berkata, pihaknya tidak akan memperbaharui lesen Uber yang tamat 30 September ini kerana aplikasi teksi itu mencetuskan risiko keselamatan awam, lapor Kosmo.

Uber bagaimanapun diberi masa 21 hari untuk merayu dan boleh terus beroperasi di London sehinggalah proses rayuan selesai.

“Pendekatan dan tatalaku Uber mempamerkan kelemahan dalam tanggungjawab korporat berhubung kait beberapa isu yang berisiko mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan awam dan aspek keselamatan secara amnya,” kata TfL.

Uber yang merangkumi sepertiga kereta sewa persendirian di London berkata, ia akan mencabar keputusan tersebut.

“TfL dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan akur kepada desakan segelintir individu yang mahu menyekat pilihan pengguna.

“Kami akan segera mencabar keputusan ini di mahkamah,” kata Pengurus Besar Uber di London, Tom Elvidge

Uber sebelum ini dikecam oleh pemandu-pemandu teksi hitam London yang menuduh aplikasi itu tidak mementingkan peraturan keselamatan dan mengancam periuk nasi mereka.

Firma Amerika Syarikat itu dikritik oleh kesatuan sekerja dan ahli Parlimen selain berdepan kes mahkamah berhubung hak pekerja.

Uber dipaksa menghentikan operasinya di sebilangan negara termasuk Denmark dan Hungary. Aplikasi teksi itu turut berdepan halangan undang-undang di sejumlah negeri di AS dan negara lain di dunia.

Terdahulu, Sadiq berkata, beliau menyokong keputusan TfL menolak permohonan Uber untuk memperbaharui lesennya.

“Semua syarikat di London wajib patuh kepada undang-undang dan mematuhi standard tinggi yang kami sarankan terutamanya apabila ia melibatkan isu keselamatan pengguna.

“Adalah tidak wajar sekiranya TfL meneruskan lesen Uber jika tindakan ini akan mendatangkan ancaman kepada keselamatan warga London dalam apa jua cara sekali pun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.