Belum Waktunya Ella Bersara

BERTEMU dengan Ratu Rock negara, Ella pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, tidak banyak yang berubah tentang dirinya kecuali imej berhijab. Dia masih Ella yang dahulu, manja, mesra dan kekal tidak dimamah usia walaupun sudah melewati angka 51 tahun.

Menariknya, penyanyi yang telah aktif di pentas seni selama tiga dekad dan menghasilkan 12 buah album studio itu tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan rentak kariernya apatah lagi bersara.

“Jika boleh saya tidak mahu berfikir tentang bersara kerana sepanjang 32 tahun kerjaya seni, tidak ada perkara negatif yang berlaku kepada saya.

“Saya masih minat dan cintakan nyanyian. Tiada sebab untuk saya berhenti. Selagi saya dimahukan peminat dan diberi kesihatan yang baik, saya akan terus menyanyi sampai bila-bila. Apapun kita hanya boleh merancang, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya membuka bicara.

Bahkan dalam industri muzik tempatan yang dibanjiri oleh ramai penyanyi muda, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin kekal utuh. Dia langsung tidak berasa tergugat, malah menyifatkan persaingan antara generasi muda adalah atmosfera yang sihat.

Oleh sebab itu, walaupun beliau mengecapi kegemilangan pada era album fizikal seperti kaset dan cakera padat, Ella tidak kekok untuk mengikut trend semasa yang kini beralih ke era digital.

“Saya sudah lama menyesuaikan diri dengan trend semasa termasuk era digital. Contohnya, album terbaharu Peace.Love.Rindu turut dijual di platform digital seperti Spotify, iTunes dan pusat beli-belah online, Lazada.

“Mahu atau tidak, saya harus mengikut peredaran masa kerana pasarannya lebih luas. Namun, secara peribadi jika mahu membeli album, saya tetap suka yang fizikal. Mungkin sudah terbiasa dan rasanya lebih puas dapat membelek album tersebut,” ujar Ella.

Album baharu

Bertutur lebih lanjut tentang album Peace.Love.Rindu yang memuatkan lapan buah lagu, Ella tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Masakan tidak, album tersebut dikeluarkan selepas 10 tahun menyepi tanpa sebarang buah tangan baharu.

 

Album terbaharu berjudul Peace.Love. Rindu didedikasikan Ella buat suami tercinta, Azhar Ghazali.

Album terakhir yang dikeluarkan adalah Rama-Rama. Bagi memberi kualiti terbaik, Ella mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan album Peace. Love.Rindu.

“Saya mengambil masa yang agak lama untuk album ini kerana dalam tempoh 10 tahun, terlalu banyak perkara yang dilakukan antaranya membina keluarga. Tempoh pembikinan album pula mengambil masa dua tahun kerana saya menerima lebih 50 buah lagu dan proses tapisan lagu sahaja banyak memakan masa,” kata Ella.

Biarpun ramai penyanyi yang memilih untuk mengeluarkan single, tetapi sebagai penyanyi senior Ella bertegas, beliau lebih puas melahirkan sebuah album penuh.

Dalam album terbaharu tersebut, Ella menggabungkan komposer lama dan baharu antaranya Datuk M. Nasir, Omar K, Faizal Tahir, Ezra Kong, Edry Hashim, Lord, Sam Bunkface dan AG Coco.

“Rasanya lapan buah lagu sudah memadai buat peminat kerana kesemuanya mempunyai keunikan tersendiri.

“Soal pemilihan komposer, saya gembira kerana terdapat dua generasi iaitu lama dan baharu. Sentuhan mereka berbeza-beza, tetapi menjadi tugas saya sebagai penyanyi untuk menyampaikan lagu yang diberi dengan baik dan dengan identiti tersendiri,” kongsi Ella tentang album yang akan mula berada di pasaran pada 25 September ini.

Harapan Ella, album terbaharu yang mengandungi lagu antaranya Raguku, Ekspresi Hujan, Peace.Love.Rindu dan Comel tersebut diterima baik bukan sahaja oleh peminat, tetapi juga stesen radio tempatan.

“Saya dan bahagian pemasaran akan berusaha sehabis baik, namun jika lagu tidak menepati kehendak dan pasaran sesetengah stesen radio, itu di luar bidang kuasa saya. Namun, jika boleh biarlah ia dapat diputarkan di radio supaya peminat tahu tentang lagu baharu saya,” kata Ella yang memilih lagu Ku Sedia sebagai single pertama untuk album terbaharunya itu.

Anak

Melanjutkan perbualan tentang kariernya, Ella bakal mengadakan sebuah konsert solo berjudul A Rock Queen’s Journey bersama Orkestra Filharmoik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada 2 dan 3 Disember depan.

 

Selepas lima tahun mendirikan rumah tangga dengan Azhar, Ella masih belum beroleh rezeki menimang cahaya mata namun sehingga kini beliau tidak terfikir untuk mengambil anak angkat.

Menurut Ella, ini kali pertama dia mengadakan konsert solo di lokasi berprestij tersebut. Sebelum ini dia bersama beberapa rakan artis pernah mengadakan persembahan di sana pada 2013.

“Saya pernah membuat persembahan bersama MPO, tetapi secara beramai-ramai dan hanya menyanyi empat buah lagu. Kali ini saya bersyukur kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk mengadakan konsert solo sendiri.

“Mengikut perancangan, saya akan menyanyikan sebanyak 17 buah lagu termasuk medley dalam persembahan selama satu jam setengah itu,” katanya.

Tinggalkan soal kerjaya, menyentuh tentang kehidupan peribadinya, pelantun Sepi Sekuntum Mawar Merah itu tidak dapat lari daripada topik anak apatah lagi usia perkahwinannya dengan juruterbang, Azhar Ghazali sudah memasuki tahun kelima.

Baru-baru ini pula, pengurus peribadi yang juga kakaknya, Jojie telah mengambil anak angkat perempuan bernama Maryam. Melihat dari sudut yang positif, Ella secara peribadi tidak terkesan dengan hal yang mungkin serius bagi pasangan lain itu. Terus-terang, buat masa sekarang Ella masih belum terfikir tentang soal cahaya mata kerana kepadatan jadual kerja.

“Saya sangat gembira untuk Jojie dan suaminya. Namun, secara peribadinya saya belum terfikir untuk mengambil anak angkat sepertinya. Tidak kisah anak angkat atau memiliki anak sendiri, ia sebenarnya bergantung kepada soal rezeki.

“Mungkin disebabkan kesibukan kerja, jadi saya tidak terfikir tentang anak. Alhamdulillah, selepas lima tahun berkahwin suami tidak pernah memaksa atau memberi tekanan soal zuriat. Kami masih gembira menjalani kehidupan rumah tangga secara berdua,” luah Ella mengakhiri bicara.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.