Anak Jumpa Wang Dalam Rumah Pusaka

KUALA PILAH – “Lailahaillallah, memang tak ingat masih ada tersimpan duit lama. Tak sangka, ia masih elok,” kata Siti Sulaiman, 90, ketika ditemui di Kampung Tanah Datar, Seri Menanti pada Rabu.

Siti yang lahir ketika negara dijajah telah merasai perit getir zaman pemerintahan British – Jepun 1941, sehingga mendorongnya menyimpan wang dan makanan kering dalam rumah sebagai persediaan pada masa hadapan.

“Orang dulu-dulu memang sentiasa beringat. Bila negara dijajah, susah hendak cari duit dan makan. Kalau ada makanan pun kena bercatu, bimbang kemudian hari tak dapat makan.

“Bila Uwan ada duit lebih, Uwan simpanlah di merata-rata tempat. Ada bawah tikar getah, belakang almari dan dalam tin. Tak kiralah, di mana-mana Uwan pasti akan selitkan duit.

“Begitu juga dengan beras, gula, garam, kain batik. Bila ada lebih makanan, Uwan simpan dalam bekas tin. Kalau kita terdesak sangat, ada juga beras dan garam untuk alas perut,” katanya.

Siti yang dikurniakan lapan anak berkata, dia bukanlah dari keluarga senang dan arwah suaminya hanya bekerja di kampung.

“Orang dulu hidup susah, tak macam zaman sekarang semuanya mudah. Dulu kalau nak makan, kena bercucuk tanam. Tanamlah sayur, pokok pisang dan ubi. Nanti bila tanak beras, ubi dicampur dalam nasi untuk dijadikan lauk pauk,” katanya.

Sementara itu, anak ketujuh Siti, Milah Abas, 55, berkata, wang tersebut ditemui ketika sedang mengemas bilik ibunya.

“Ketika hendak alihkan almari, saya terjumpa sampul surat dan bila melihat ke dalamnya, ada duit lama. Memang terkejut sebab tak tahu ada wang. Kami jumpa juga wang bawah tikar getah, buku dan celah dinding.

“Sebenarnya penemuan wang lama ni bukan kali pertama, sebelum ni saya pernah jumpa lebih RM3,000 dalam rumah ni. Semuanya disimpan di tempat tersorok.

“Ibu pun tak pernah beritahu dia ada simpan wang. Rasanya mesti ada lagi wang yang disimpan ibu dalam rumah pusaka ni,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Siti, Azizah, 70, berkata, ibunya memiliki sikap berjimat cermat dan beringat.

“Ibu hingga kini ketika makan, akan hanya menjamah saja, bimbang anak-anak dan cucunya tak dapat makan.

“Lagipun kami ada lapan beradik, jadinya ibu sentiasa beringat untuk simpan wang dan makanan kering untuk hari berikutnya,” kongsinya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.