70,000 Diarah Pindah, Empangan Tidak Berfungsi

SAN JUAN – Kira-kira 70,000 penduduk diarah berpindah semalam selepas empangan di Puerto Rico gagal menampung air dalam bencana terbaru disebabkan Taufan Maria.

Menurut AFP, dengan angka kematian akibat ribut itu meningkat kepada 33 di seluruh Caribbean, pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di sini mengeluarkan amaran banjir kilat bagi penduduk di sepanjang Sungai Guajataca, lapor Kosmo.

Menurut pejabat berkenaan, empangan yang dibina pada 1929 itu berada dalam bahaya pecah.

“Semua kawasan sekitar Sungai Guajataca perlu dikosongkan sekarang. Nyawa penduduk dalam bahaya,” kata perkhidmatan itu dalam akaun Twitter.

“Banjir sudah pun bermula di hilir,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Gabenor Ricardo Rossello, mengeluarkan arahan kepada 70,000 penduduk di kawasan berkenaan supaya berpindah.

Setiausaha Keselamatan Awam, Hector Pesquera, berkata saluran yang selalunya membebaskan aliran air dari empangan itu dalam bentuk terkawal, sudah pecah.

Ia membebaskan air secara bebas, menghanyutkan sebahagian besar tanah dari lereng empangan, menurut video laman web WeatherNation.

Puerto Rico berhadapan bahaya banjir selepas dibadai Taufan Maria awal Rabu lalu dengan penyelamat bergelut dengan masa untuk menyelamatkan mangsa terperangkap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.