Sedia Rumah Generasi Kedua Peneroka FELDA Jadi Keutamaan Kerajaan

MARAN – Usaha menyediakan perumahan yang selesa kepada generasi baharu Felda terus menjadi keutamaan kerajaan dalam memenuhi keperluan golongan itu untuk memiliki rumah sendiri.

 

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Felda setakat ini telah mengeluarkan hampir RM500 juta bagi fasa pertama projek perumahan untuk generasi baharu.

 

“Ini membabitkan pembinaan 8,470 unit rumah berharga RM90,000 seunit di 38 rancangan Felda sementara menunggu kelulusan pinjaman bank.

 

“Ada sedikit masalah berkaitan pinjaman daripada pihak bank yang pada awalnya telah bersetuju untuk meluluskan pinjaman penuh pembinaan, namun kemudian telah dikurangkan menyebabkan projek pembinaan 8,470 unit rumah ini agak kelewatan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2016 peringkat kebangsaan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dekat sini, hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

 

Bagaimanapun, katanya, masalah itu dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya awal bulan depan dengan 2,400 unit rumah dijangka dapat disiapkan dan diserahkan kepada pemilik manakala bakinya akan siap sama ada awal Mac atau April tahun hadapan.

 

Sementara itu, Mohd. Isa berkata, fasa kedua projek bagi membina rumah berharga RM70,000 seunit pula dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

 

“Kita telah melantik pemaju dengan kewangan yang cukup untuk membina rumah bagi fasa kedua ini untuk tanah tidak bermasalah kita boleh buat 2,700 (unit rumah) dan ini kita akan lakukan pada hujung tahun ini, manakala tanah lain kita akan selesaikan sebelum pertengahan tahun hadapan,” katanya.

 

Mohd Isa berkata, selain itu, Felda juga memberi perhatian kepada langkah membantu generasi baharu Felda yang menghadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri kerana tidak mempunyai penyata gaji.

 

Katanya, pihak Felda sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan dan beberapa bank dalam usaha mencari pendekatan terbaik untuk membantu generasi baharu yang ada pendapatan tetapi tiada penyata gaji bagi membolehkan mereka memiliki rumah sendiri. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.