Polis Telah Kenal Pasti Suspek Penculik Nur Darleen

PUTRAJAYA ― Polis mengenal pasti seorang daripada dua suspek yang dipercayai melarikan pelajar tingkatan tiga Nur Darleen Dazeera Azhar di Bandar Tun Hussein Onn semalam.

 

Ketua polis daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata suspek berusia 25 tahun itu merupakan seorang penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

 

Katanya, suspek dipercayai menetap berhampiran rumah mangsa namun, beliau enggan memperinci sama ada mereka saling mengenali.

 

“Suspek ini akan kita tahan secepat mungkin dan dari situ, kita yakin seorang lagi rakan subahatnya akan turut dikesan dan ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Karnival 1AmanWeek di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

 

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Nur Darleen, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, dilarikan dua lelaki bermotosikal ketika menunggu van sekolah di hadapan rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn.

 

Bagaimanapun, beliau ditemui selamat oleh orang awam berdekatan sebuah pasar raya kira-kira tujuh jam kemudian selepas dipercayai ditinggalkan dua lelaki berkenaan di kawasan itu setelah berita mengenai kejadian tersebut tersebar di laman sosial.

 

Othman berkata selain memburu dua suspek itu, pihaknya juga akan mengambil keterangan beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 iaitu kesalahan melakukan penculikan, katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya turut menyiasat semua aspek termasuk kemungkinan wujudnya elemen rekaan penculikan dalam kes berkenaan. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.