Lelaki Parah Kereta Terbabas Masuk Lubang Di Bulatan Kg Pandan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira 10m di sebuah tapak pembinaan di Bulatan Kampung Pandan, pada 10.30 malam tadi.

 

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata seramai 15 anggota dari Balai Bomba Pudu bersama 4 jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

 

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati ada seorang lelaki tempatan terperangkap di tempat duduk pemandu di dalam kereta jenis Kia Spectra yang dipandu mangsa.

 

“Bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan lelaki yang berumur 55 tahun itu daripada kenderaannya.

 

“Hasil siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berkenaan telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam lubang itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Samsol berkata lelaki berkenaan melanggar penghadang jalan sebelum kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang di tapak pembinaan itu.

 

“Lelaki berkenaan yang mengalami cedera parah akibat terjatuh ke dalam lubang itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.