Lebih 15,000 Warga Peneroka Sambut Hari Peneroka Felda Bersama PM

MARAN – Lebih 15,000 warga peneroka dari seluruh negara hadir menyambut Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2016 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada pukul 9.30 pagi untuk merasmikan sambutan berkenaan yang kali kedua diadakan di wilayah sama.

 

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

 

Dalam majlis sambutan bertemakan Mensyukuri Nikmat: Kebersamaan dan Kebersatuan itu, Perdana Menteri dijadual merasmikan Stadium Felda Tun Abdul Razak bernilai RM92 juta yang menggunakan rumput tiruan diiktiraf dunia hasil cetusan idea beliau semasa sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2011 di Bandar Tun Razak di sini.

 

Beliau turut melancarkan modul Gerakan Kesejahteraan Keluarga (GKK) Felda yang dibangunkan semula bagi merealisasikan pembangunan keluarga berasaskan konsep kebersamaan dan kebersatuan komuniti Felda.

 

Perdana Menteri juga akan menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda selain Anugerah Khidmat Bakti kepada bekas peneroka yang telah berkhidmat cemerlang serta memberi sumbangan terhadap kemajuan tanah rancangan tersebut.

 

Anugerah lain yang akan disampaikan adalah Anugerah Masjid Terbaik dan Tokoh Imam yang disenarai pendek daripada 263 masjid di tanah rancangan berkenaan atau masjid di bawah pentadbiran Felda.

 

Sementara, Felda dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada petugas media pada majlis berkenaan berkata, sejak tahun 2000 sehingga kini, entiti itu memperuntukkan lebih RM4.46 bilion kepada warga peneroka sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

 

Daripada jumlah itu, katanya, lebih RM370 juta diperuntukkan bagi pembiayaan pendidikan dan lebih RM48 juta untuk pembiayaan keusahawanan.

 

”Felda selama ini memberi kebajikan dari segi sara hidup, pendapatan hasil, membiayai infrastruktur, program pendidikan, latihan kemahiran, pembesaran rumah, program keusahawanan, pembelian komputer dan saham,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.