BERJASA Sertai PAS dan Ikatan Bentuk Pembangkang Blok Ketiga

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) akhirnya memilih pembangkang blok ketiga bersama Pas dan Ikatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

 

Malam ini bertemakan Gagasan Politik Sejahtera, BERJASA akan mengumumkan secara rasmi menyertai pakatan pembangkang itu dihadapan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan dan Presiden Ikatan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

 

Ia sekaligus menjawab teka-teki sebelum ini kenapa ada beberapa pertemuan antara wakil BERJASA dengan Pas atau sama ada BERJASA bakal menyertai Pakatan Harapan menjelang PRU-14.

 

Parti yang mengumumkan bakal bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor itu melangkah ke fasa baharu selepas lama bersendirian dalam arena politik di negara ini.

 

Tindakan proaktif dilakukan itu dilihat usaha Presiden BERJASA yang baharu, Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut dalam memberi ‘semangat’ kepada parti berkenaan.

 

Parti serpihan Pas itu pula dilihat diperlukan oleh Pas selepas Pas kehilangan beberapa pimpinan dan ahli yang keluar menubuhkan Parti Amanah Negara termasuk bekas timbalan presidennya, Mohamad Sabu.

 

Menurut sumber, kerjasama itu bermakna BERJASA juga menyokong pindaan Rang Undang Undang 355 yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

 

Parti BERJASA sebelum ini cuba ‘dipikat’ oleh sesetengah wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tajaan Tun Mahathir Mohamad tetapi ditolak oleh majoriti perwakilan BERJASA sebelum PPBM diluluskan sebagai parti yang sah oleh Pendaftar Pertubuhan.–MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.